ROM – Bekas Kapten kelab Sampdoria Francesco Flachi bakal melakukan penampilan semula dalam dunia bola sepak selepas ‘lenyap’ selama 12 tahun.
Pada awal 2007 nama Francesco Flachi dijulang sebagai legenda bola sepak kelab Sampdoria dalam Serie A Itali.
Selaku kapten pasukan ketika itu, Flachi menjaringkan lebih 100 gol sebelum dipanggil menyertai pasukan Itali buat julung kali.
Malangnya, kehidupannya berubah sekelip mata beberapa jam selepas aksi Serie A menentang Inter Milan pada 28 Januari 2007 apabila diuji positif dadah kokain.
Dia serta-merta digantung dari aktiviti bola sepak di peringkat kelab dan juga antarabangsa selama dua tahun.
Namun, dua tahun selepas penggantungan itu, karier bola sepaknya lenyap.
Flachi sering diselubungi kontroversi dalam dunia bola sepak.
Setahun sebelum digantung pengambilan dadah iaitu pada 2006, Flachi dituduh terlibat dalam pengaturan perlawanan dan digantung dua bulan.
Sebanyak 110 gol yang dijaringkan untuk Sampdoria ketika itu meletakkannya dalam senarai penjaring sepanjang hayat kelab itu selepas Roberto Mancini dan Gianluca Vialli.
Selepas dua tahun penggantungan akibat pengambilan kokain, Flachi ditawarkan menyertai kelab Serie A Brescia dan Empoli namun gagal bangkit semula.
Malang terus menimpa Flachi pada tahun 2019 apabila sekali lagi diuji positif kokain kali kedua dan dilabel sebagai kesalahan berulang, menyebabkan dia terus digantung 12 tahun dari arena bola sepak.
Namun, selepas 12 tahun itu, Flachi sudah bersiap untuk kemunculan semula.
Flachi menyedari usianya kini mencecah 46 tahun tidak akan mengizinkan untuk beraksi atas padang secara fizikal.
Namun dia telah mengambil inisiatif melatih pasukan tempatan Bagno a Ripoli dan menang liga serta beberapa gelaran domestik, selain menguruskan pasukan remaja Signa 1914.
“Saya sangat teruja untuk kembali semula ke dunia bola sepak untuk menyumbang sesuatu walaupun bukan sebagai pemain seperti dahulu.
“Dengan peluang sekarang saya mahu menyumbang segala kemahiran ada untuk membantu anak-anak muda supaya mereka tidak melakukan kesilapan yang saya buat 12 tahun lalu,” katanya.- BBC Sport.com.