KUALA LUMPUR – Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sedang dalam proses menyalurkan bantuan ‘one-off’ berjumlah RM500 kepada 27,627 pemandu yang masih belum menerima bayaran tersebut.
Bayaran itu daripada peruntukan Pemerkasa+ kepada komuniti pemandu e-hailing yang layak.
Seramai 56,092 pemandu e-hailing telah memenuhi syarat kelayakan dan layak untuk menerima bantuan tersebut.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, bantuan itu telah disalurkan kepada APAD pada 3 September lalu.
”APAD sedang memproses pembayaran melalui bank yang telah dilantik kerajaan iaitu Hong Leong Bank dan pembayaran akan dibuat secara autokredit ke dalam akaun bank 27,627 pemandu terlibat bermula pada hari Jumaat 10 September 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.
Ka Siong berkata, MOT memohon maaf atas kelewatan penyaluran bantuan ini.
“Sememangnya pihak MOT sentiasa komited dalam memastikan kebajikan para pemandu ehailing sentiasa terbela dan berharap pembayaran bantuan RM500 ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh pemandu ehailing dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette