KUALA LUMPUR – Sentuhan jurulatih berpengalaman, Bojan Hodak di Liga Malaysia masih menjadi selepas berjaya membawa KL City FC melalui musim yang cemerlang di Liga Super.
Selain pencapaian terbaik buat KL City di Liga Super sepanjang bersaing di Liga Super, pengendali dari Croatia itu turut membantu KL City menjadi satu-satunya pasukan yang tidak tewas di laman sendiri sepanjang musim ini.
Dia mengharapkan ini bakal menjadi detik awal kepada Kuala Lumpur City pada masa depan yang lebih cerah apabila sedia meletakkan sasaran yang lebih baik selepas ini dalam saingan Liga Malaysia.
Dalam masa sama, Bojan yang pernah menjulang Piala Malaysia bersama Kelantan selaku jurulatih pada musim 2012, sudah mula memasang impian untuk membawa KL City melangkah jauh dalam kejohanan itu pada musim ini.
“Banyak pihak menghubungi saya termasuk wartawan dengan mengatakan ini merupakan sejarah terbaik pasukan di liga sejak lebih 30 tahun lalu dan sememangnya saya serta semua berada di sini begitu gembira.
“Apa yang terjadi membuktikan kelab semakin berada di dalam tahap terbaik dan saya mahu ini hanya merupakan langkah permulaan kepada masa depan KL City.
“Kami juga belum pernah tewas dalam 11 perlawanan terakhir di liga, satu petanda yang begitu baik bagi kami hadapi Piala Malaysia yang selalunya terbuka kepada mana-mana pasukan untuk memenanginya.
“Kami bernasib baik kerana tidak ada mana-mana pemain yang alami kecederaan jangka panjang kecuali penyerang (Kyrian Nwabueze) dan Hadin Azman yang alami kecederaan di bahagian miniskus.
“ Saya yakin jika kita punyai semua pemain, kami boleh menentang sesiapa sahaja di kejohanan Piala Malaysia dan sememangnya saya percaya dengan kemampuan pemain-pemain,” katanya.
KL City yang menduduki tangga keenam Liga Super telah meraih tujuh kemenangan dan empat keputusan seri sepanjang 11 perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, musim ini.
Mereka berjaya mengejutkan beberapa pasukan pilihan seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC (2-1) dan Terengganu FC (1-0) selain mengikat juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (1-1).
Menjelang pertemuan dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad ini, Bojan dijangka akan menurunkan beberapa muka baharu yang berada di bangku simpanan.
Menurutnya, perancangan itu dibuat berikutan sebarang keputusan di Johor sudah tidak banyak memberikan perubahan kepada kedudukan liga selain berikan tumpuan kepada saingan Piala Malaysia.
“Kami tidak ada sebarang tekanan bagi hadapi JDT pada perlawanan terakhir liga nanti dan saya sedia menggunakan beberapa pemain yang jarang diturunkan bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka.
“Ini peluang kepada pemain-pemain simpanan membuktikan kemampuan mereka kepada saya selepas jarang diturunkan pada musim ini.
“Saya mahu pemain utama mendapat sedikit rehat kerana mahu berikan tumpuan kepada saingan Piala Malaysia memandangkan aksi terakhir ini tidak berikan kesan kepada kedudukan liga sama ada kami menang atau kalah, ” katanya. – MalaysiaGazette