JOHOR BAHRU – Negara tidak akan bankrap seperti yang selalu didakwa pembangkang, kerana kerajaan mengamalkan pengurusan kewangan yang baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata negara berada pada kedudukan ekonomi yang kukuh, dan mampu memacu transformasi negara untuk kesejahteraan rakyat.
“Kalau ada yang bagi tahu negara bankrap, itu adalah fitnah dan dakwaan yang tiada berasas. Misalnya, kerugian yang berlaku ketika forex dealing (urus niaga mata wang asing) pada 1997, berapa kerugian…dalam prosiding Suruhanjaya Diraja (RCI) (menunjukkan) RM31 bilion, ada yang kata RM33 bilion.
“Pada ketika itu rizab antarabangsa kita sebanyak RM60 bilion, iaitu separuh daripada rizab kita rugi. Bukan rugi atas kertas tapi rugi ‘hardcash’ iaitu tunai (dan) kita masih tak bankrap lagi,” kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Johor Bahru di sini hari ini.
Presiden Umno itu berkata rizab antarabangsa kini bernilai RM400 bilion dan itu secara langsung menunjukkan kewangan negara masih kukuh.
Selain itu, penarafan A- dan A ke atas negara juga menunjukkan pengurusan kewangan negara masih baik, kata Najib.
Pada Februari lepas, Fittch Ratings mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada ‘A-‘ dan ‘A’ dengan unjuran stabil, yang didorong oleh komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal, kestabilan ringgit serta pertumbuhan rizab dan ekonomi yang lebih kukuh.
Najib menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa negara akan bankrap bertujuan untuk mengelirukan rakyat, sekali gus menghilangkan keyakinan terhadap Umno dan Barisan Nasional.
“Jadi, tak bolehlah kita percayakan dakwaan (pembangkang) sebab dia nak hilangkan keyakinan rakyat pada kita (kerajaan). Politik hari ini adalah mengenai persepsi, asalkan ada orang sangsi pada kerajaan… sudah cukup.”
“Kita (orang Umno) kena terangkan naratif cerita sebenar walaupun kita kena ulang banyak kali bahawa Malaysia berada pada landasan ekonomi yang kukuh dan kita (kerajaan Barisan Nasional) mampu memacu transformasi untuk kesejahteraan rakyat,” tambah Najib.
Beliau berkata projek pengangkutan awam seperti MRT di Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang telah dilaksanakan kerajaan, disifatkan sebagai projek bertaraf dunia.
“Maknanya keyakinan rakyat pada kita untuk menyediakan projek bertaraf dunia tidak boleh disangkal oleh sesiapa,” kata Perdana Menteri.
Selain itu, pertumbuhan 5.8 peratus pada suku kedua, rizab antarabangsa yang bertambah serta unjuran nilai mata wang negara akan lebih kukuh, turut menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan kukuh. – MalaysiaGazette
pegawai felda tempat aku pun pernah cakap kalau kita tipu duit felda seribu sebulan pun felda tidak akan bankrap.