PERNAHKAH kita rasa tertipu dengan sesuatu info atau berita yang diterima? Apatah lagi
sebelumnya, kita sangat percaya bahawa khabar itu adalah benar hingga memberi impak
yang mendalam dan tidak keruan kepada diri. Menjawab panggilan telefon daripada seseorang yang menyatakan kita itu dan ini, lantas diri mempercayainya. Tambahan lagi, ia mengatakan bahawa kita telah membuat kesalahan tertentu dan akan dikenakan tindakan saman atau mahkamah.
Ya, bukan mudah nak hadapinya jika kita adalah seorang manusia yang mudah percaya
dan rasa takut serta cemas cepat menguasai hingga segala arahan yang diberikan di talian akur dituruti. Realitinya semua itu adalah scammer terancang yang ingin mencetuskan kekalutan kepada orang yang disasarkan.
Seringnya bukan orang biasa-biasa yang terkena. Tidak terkecuali mereka yang berilmu
atau berkedudukan seakan terpukau, terkena juga dengan penipuan sedemikian.
Sadisnya bukan kepalang, hingga adakalanya wang yang dikumpul sekian lama lesap
sekelip mata. Persoalannya, mengapa pihak tertentu yang menggencarkan sindiket
sedemikian tega melakukannya? Tiada isteri, keluargakah mereka? “Mereka adalah manusia yang sakit, jahat. Manusia yang makan gaji menjadi cybertrooper, iaitu menjadi laskar siber,” jawab Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan IKRAM Malaysia, Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Beliau berkata demikian dalam Bicara Bina Negara (BBN) 15 bertajuk ‘Maklumat Palsu:
Peranan Masyarakat Beretika’ pada 4 September lalu yang dianjurkan oleh Pertubuhan
IKRAM Malaysia. Tambah beliau lagi, mereka yang menjadi laskar siber ini sangat sakit dan jahat serta memakan gaji haram dan yang tukang beri gaji pun adalah jahat.
Di sini jelas menunjukkan mereka yang melakukan penipuan atau menyebarkan info-info
palsu ini adalah manusia yang sakit, maka tergamaklah melakukan sesuatu yang tidak selari dengan fitrah manusiawi.
Bisa mencetuskan huru-hara
Dewasa ini, info-info tidak benar laju sahaja berlegar dan sampai dalam grup-grup media
sosial seperti Whatsapp, Telegram, Facebook juga lain-lainnya. Malahan ilmu kesihatan juga disebarkan oleh mereka yang bukan ahlinya hingga membuatkan ramai yang terpercaya dengan apa yang disampaikan, contohnya seperti mereka yang antivaksin.
Maka pelbagai teori, karangan berjela, video dicipta bagi mempengaruhi khalayak dan
mengikuti kepercayaan mereka yang tidak ada ilmu mahupun kajian tentang sesuatu yang disampaikan itu.
Jika fikir logik akal kita sebagai manusia yang waras, tentu terdetik, “Dah tiada kerja ke
mereka hingga sanggup mencetuskan isu sebegitu?” Lalu ia disebarkan oleh ramai orang
hingga mereka percaya 100 peratus dengan apa yang dibaca, didengar dan disampaikan
itu. Dalam situasi lain, terdapat juga manusia yang tanpa usul periksa (tabayyun) menyebarkan sesuatu perkara kepada grup-grup yang lain walau hakikatnya khabar itu adalah palsu sama sekali.
Sungguh ironi sekali, seharusnya dalam isu sebegini masyarakat perlu sedar bahawa tidak
semua yang diterima itu perlu dikongsi sebagaimana kata influencer media sosial, Dr Ahmad Samhan Awang dalam isu ini: “Dapatkan kepastian, kesahihan sebelum sebarkan kerana kita perlu faham, semua orang di media sosial, mereka ingin jadi hero, jadi orang pertama sebarkan info tersebut. Dan orang yang paling cepat (sebarkan info), belum tentu ia paling tepat”.
Menurutnya, keadaan tersebut sangat bahaya jika tidak ditangani. Maka, ikutilah tagline
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), ‘Tidak pasti jangan kongsi’.
Masyarakat ketika ini sering menjadi mangsa keadaan melalui berita palsu yang diterima.
Sewajarnya kita semua mengelakkan daripada menjadi mangsa berita palsu, apalagi
dengan khabar tidak benar itu mampu mengganggu-gugat keamanan negara dan
mencetuskan huru hara.
Masyarakat kurang adab?
SKMM melaporkan bahawa lebih 3,000 kes sepanjang Januari hingga April yang diterima
berkaitan berita dan maklumat palsu. Walaupun beberapa tahun lalu, SKMM telah menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab dan yang menaja aktiviti sedemikian untuk menghentikan aktiviti tersebut dengan segera atau bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang.
Daripada itu, SKMM mendapati jumlah kenyataan yang berniat jahat dan palsu yang
tersebar melalui SMS dan media sosial semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Ketika BBN 15 itu juga Dr Mohamed Hatta berkata, masyarakat kini ‘terbenam dalam satu
paya yang dalam dan sukar nak keluar kaki-kaki mereka ini’. “Insya-Allah (mereka) yang imannya kuat, ilmunya mantap mampu menangani isu ini”.
Beliau mengungkap perkataan gullible yang bermaksud senang percaya, senang menangkap, pantang ada maklumat, mereka terus percaya. Begitulah masyarakat umum
kini. “Kita perlu adil, kritikal dan adab (AKA). Apalagi sebenarnya manusia susah jadi adil; adil kepada diri dan adil kepada orang lain. Selain itu, kita mesti bersikap kritis. Imam Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumiddin menggalakkan manusia berfikir kritis. Itu perlu!” ujarnya tegas dengan menambah, dalam dunia sekarang masyarakat telah kurang beradab.
Di mana tabligh dan tabayyun kita?
Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata, Islam amat menitikberatkan tabligh (menyampaikan) dan dalam masa yang sama ia perlu disaring dengan baik, dengan prinsip tabayyun (selidik).
“Dalam semangat menyampaikan tidak kira dalam institusi penyiaran atau pendidikan, kita juga harus berhati-hati dan punya disiplin dalam konteks betul-betul menyaring berita itu dengan tabayyun. Mengikut disiplin itu juga, kita perlu melihat dan meneliti.”
Sesuatu berita yang diterima itu perlu diselidiki kebenarannya agar kita tidak menjadi
penghubung kepada sesuatu yang tidak benar itu.
Penularan maklumat palsu di media sosial seringnya menimbulkan perasaan panik dan
kebimbangan orang ramai. Walaupun rakyat Malaysia sering diingatkan agar tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat tersebut sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan, namun masih ada juga yang menjadi orang yang tidak sengaja melakukannya.
“Dia tidak bertabayyun, tapi ini pun dosa juga kalau kerja atau hobinya, dapat saja
maklumat, dia suka sebarkan,” kata Dr Mohamed Hatta. Menjelaskan situasi itu beliau berkata , ini juga adalah penyakit.“Ia mungkin tidak jahat tapi pengiktirafan bagi jiwa yang lemah. Dan ia mungkin ada kompleks rendah diri dan menagih perhatian.”
Jelasnya, mereka yang jenis ini berani depan skrin tetapi tidak berani berdepan dengan
manusia. “Inilah sejenis syaitan dalam kalangan manusia. Ini adalah kejahatan, kefasikan, kefasadan hidup dalam pascamoden ini,” tegasnya keras.
“Di setiap media sosial mempunyai netizen atau komuniti yang berbeza,” kata Dr. Ahmad
Samhan Awang dengan mengakui aktif di semua media sosial kerana ada golongan atau
rakyat Malaysia yang tidak mempunyai kesemua media sosial, dan hanya mempunyai satu platform sahaja. Tambahnya, sehingga kini sebanyak 24.9 juta orang yang menggunakan aplikasi Facebook dan medium Whatsapp paling banyak digunakan oleh rakyat Malaysia. “Kerana terlalu banyak info yang tersebar, ia boleh menjadi perkongsian daripada sumber yang sahih atau sumber yang tidak sahih iaitu palsu”.
Apalagi, banyak info dalam grup-grup Whatsapp sehingga boleh mempengaruhi persepsi
seseorang, mempengaruhi keputusan seseorang berikutan pelbagai sumber info yang
datang. “Kita perlukan seseorang yang berkaliber atau berkepakaran dalam memberi maklumat dan sesuatu info itu juga perlukan ditabayyun, disiasat dahulu supaya info tersebut tidak salah dan info tersebut adalah info yang sahih,” kata Dr Samhan sambil menambah, perkara ini sangat penting untuk difahami.
Bersama kita tanganinya
Adakah situasi menyebarkan berita tidak benar atau palsu ini mampu ditangani dengan
segera? Masyarakat dunia sedang melalui zaman tanpa sempadan dan hanya dengan satu klik, maklumat palsu telah tersebar. Tentunya ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi dengan kesedaran dan peranan masyarakat yang beretika, situasi ini mampu dibendung dengan sebaiknya. Kebanjiran pelbagai maklumat yang tidak benar atau palsu seakan tiada kesudahannya dalam masyarakat masa kini. Tidak kira daripada kalangan rakyat biasa, hinggalah influcer atau mereka yang dikenali di khalayak ramai.
Isu ini seakan biasa bagi segelintir masyarakat dan ia dilihat tiada pengakhirannya apalagi ia mudah disebar di media sosial dengan pantasnya, hanya dihujung jari cuma. Dunia seakan menjadi kampung kecil kepada sekalian manusia kini hingga informasi yang
disebar mahupun yang didapati tidak ketahuan sama ada benar atau sebaliknya.
Walaupun begitu, kita sudah ada medium portal SEBENARNYA.MY yang dilancarkan pada
14 Mac 2017 lalu bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang
menular di laman sosial. Portal yang dibangunkan SKMM itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.
Tentunya segala maklumat yang berkaitan akan dikumpul, dianalisa, disahkan dan dimuat
naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik. Realitinya melalui berita palsu, ia bukan sahaja mengelirukan malah boleh mengancam keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Perlu diketahui, sebagaimana yang dinyatakan di www.malaysia.gov.my bahawa portal
SEBENARNYA.MY adalah sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia untuk menyemak
sebelum berkongsi berita yang tidak ditentukan kesahihannya, yang diterima secara dalam talian melalui platform media sosial, perkhidmatan mesej segera, blog, laman sesawang dan lain-lain. Dengan adanya portal tersebut, diharap gejala penularan berita palsu dalam talian yang boleh memberi kesan kepada masyarakat dan negara dapat ditangani dengan berkesan.
Berikutan itu juga, SKMM telah memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ia adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. Kesan dan impak berita palsu dalam kehidupan masyarakat terutama individu yang mudah mempercayai berita tidak benar ini amatlah tidak sihat. Sebagai masyarakat yang prihatin dan bertanggungjawab, ayuh bersama-sama kita
menghentikan penularan berita atau maklumat palsu ini.
Atriza Umar
Pegawai Penyiaran dan Komunikasi
Pertubuhan IKRAM Malaysia