Home Seni Hidup Kompleks Anjung Husnul Khatimah bernilai RM20 juta

Kompleks Anjung Husnul Khatimah bernilai RM20 juta

Kompleks Anjung Husnul Khatimah yang bertaraf servis tiga bintang bakal dibina di Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor.

KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Sabha sedang dalam perancangan membina Kompleks Anjung Husnul Khatimah bertaraf servis tiga bintang bertempat di Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor yang bernilai RM20 juta.

Pemilik Yayasan itu, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, kompleks yang telah sempurna diwakafkan dan kini dipegang amanah oleh Malis Agama Islam Selangor (MAIS) dijangka siap pada tahun 2023.

Jelas beliau, sejak dilancarkan Tabung Dana Pembinaan Kompleks hampir dua tahun yang lalu, sejumlah RM1.5 juta telah berjaya dikumpulkan.

“Sementara itu, kerja-kerja teknikal untuk mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) sedang berada di peringkat akhir. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menyebabkan kelewatan memperoleh KM menghampiri tempoh enam bulan.

“Usaha sedang giat dibuat untuk memperoleh dana yang diperlukan. Sehingga hari ini, sambutan diberi adalah mengalakkan dalam mana setiap hari sumbangan diterima melalui akaun Yayasan Sabha yang majoriti bentuk sumbangannya dalam bentuk runcitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hasan Mohamed Ali

Hasan memberitahu, Kompleks Anjung Husnul Khatimah menawarkan dua jenis program pentarbiyahan di mana yang pertama mengandungi lima modul yang setiap satunya berdurasi tiga hari dua malam dengan isi kandungan pengisian saling berkaitan antara satu modul dengan modul yang lainnya.

Kedua jelas beliau, empat modul setiap satunya juga tiga hari dua malam ditawarkan kepada anak-anak berumur 15 tahun keatas dengan pengisian menjurus kepada pembentukan anak-anak soleh dan solehah yang dapat berkhidmat kepada ibu bapa hingga akhir hayat dengan penuh keikhlasan dan kejujuran.

Menurut beliau, pengendalian program pentarbiyahan bakal dimulakan apabila kompleks dijangka siap pada pertengahan tahun 2023 yang dikendalikan mengikut lunas profesionalisme dan moden di samping memberi penekanan kepada aspek kualiti dan produktiviti.

“Piawaian khidmat tiga bintang akan dijadikan penanda aras kepada kualiti khidmat yang bakal diberikan. Prinsip mengutamakan golongan fakir miskin dan mereka yang tidak berupaya masih diteruskan di Kompleks yang bakal didirikan.

“Gologan fakir miskin, anak yatim serta ibu tunggal dikecualikan daripada membayar yuran pendaftaran. Pihak Yayasan akan mengusahakan supaya penyertaan mereka dibuat atas dasar tajaan.

“Peserta-peserta lain disyorkan membuat sumbangan untuk membiayai penyertaan mereka selama tiga hari dua malam bagi setiap modul yang disertai. Sumbangan mereka sebaik-baiknya eloklah bersesuaian dengan mutu perkhidmatan bertaraf tiga bintang yang diberi selama mereka menyertai program pentarbiyahan tersebut,” katanya.

Hasan menambah, kompleks yang merupakan satu-satunya di dunia, di Asia dan di Malaysia ini dijangka akan menjadi mercu tanda syiar Islam yang bakal dikunjungi oleh pelawat-pelawat dan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara.

Jelas beliau, antara kemudahan yang disediakan adalah Pusat Islam, 125 bilik penginapan berhawa dingin, auditorium berkapasiti 350 orang, 10 bilik kuliah (berhawa dingin), dewan makan dan blok pentadbiran.

Turut disedikan bilik rawatan, dua unit gimnasium lelaki dan wanita, lapan kuaters untuk staf, tandas awam dan empat letak kereta yang mencukupi.

Sementara itu, mereka yang ingin memberi sumbangan bagi menampung kos pengurusan, makan minum, penyelenggaraan dan sebagainya, boleh menghubungi YSK di talian 03-7732 1669 atau +6019-213 0147 atau layari laman web www.anjunghusnulkhatimah.com. – MalaysiaGazette