Home Ekonomi IPP Julai susut 5.2%

IPP Julai susut 5.2%

KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) bulan Julai merosot 5.2 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Kejatuhan IPP ini disumbangkan oleh penyusutan dalam indeks pembuatan (-6.5%) dan indeks elektrik (-6.6%), menurut Jabatan Perangkaan.

Sementara itu, indeks perlombongan merekodkan kenaikan 0.6 peratus.

Output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun menurun 6.5 peratus pada bulan Julai 2021 selepas mencatatkan kejatuhan 0.2 peratus pada bulan Jun 2021.

Subsektor yang mempengaruhi kemerosotan dalam sektor pembuatan pada Julai 2021 adalah kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (-43.8%), produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (-27.6%) dan produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (-23.7%).

Industri berorientasikan domestik menyusut 24.7 peratus manakala industri berorientasikan eksport tumbuh sebanyak 1.9 peratus.

Output sektor perlombongan tumbuh 0.6 peratus pada bulan Julai 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Pertumbuhan tersebut dipacu olehm peningkatan 4.1 peratus dalam indeks gas asli.

Sementara itu indeks minyak mentah & kondensat berkurang 3.6 peratus.

Output sektor elektrik merosot 6.6 peratus pada bulan Julai 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette