KUALA LUMPUR – Perdagangan Borong & Runcit Malaysia mencatatkan penurunan dua digit dua bulan berturut-turut dengan -14.7 peratus kepada RM92.7 bilion pada Julai 2021, kesan daripada perintah kawalan pergerakan Covid-19.
Subsektor Kenderaan Bermotor paling terkesan, merosot -85.4 peratus atau RM11.8 bilion untuk mencatatkan RM2.0 bilion.
Perdagangan runcit juga turun -8.1 peratus atau RM3.6 bilion kepada RM41.1 bilion diikuti oleh perdagangan borong yang jatuh -1.1 peratus atau RM0.5 bilion untuk mencapai RM49.5 bilion.
Walau bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat marginal 0.5 peratus, meningkat berbanding -14.8 peratus yang dilaporkan pada bulan lepas setelah beberapa negeri memasuki Fasa Dua Pelan Pemulihan Nasional yang membenarkan sektor ekonomi dan pengedaran terpilih untuk beroperasi.
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan -85.4 peratus bagi subsektor kenderaan bermotor pada bulan Julai 2021 adalah disebabkan oleh jualan kenderaan bermotor yang merosot -83.8 peratus atau RM6.8 bilion kepada RM1.3 bilion diikuti oleh jualan komponen & aksesori kenderaan bermotor dengan -87.4 peratus untuk merekodkan RM0.4 bilion.
Penyelenggaraan & pembaikan kenderaan bermotor juga menurun -88.7 peratus kepada RM0.2 bilion diikuti oleh jualan, penyelenggaraan & pembaikan motosikal dengan pertumbuhan -86.9 peratus untuk mencapai RM0.1 bilion.
Bagaimanapun, bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan subsektor ini mencatatkan peningkatan yang signifikan sebanyak 118.6 peratus, disokong oleh jualan kenderaan bermotor yang meningkat 275.1 peratus selepas ruang pameran dan pusat jualan kenderaan dibenarkan beroperasi di negeri-negeri Fasa Dua.
Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor perdagangan runcit, beliau berkata, penguncupan -8.1 peratus adalah disebabkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang merosot -10.8 peratus atau RM1.8 bilion kepada RM15.0 bilion.
Jualan runcit di kedai pengkhususan juga menurun -11.1 peratus untuk merekodkan RM7.9 bilion diikuti oleh jualan runcit bahan api kenderaan -14.1 peratus, jualan runcit barangan isi rumah -3.7 peratus, jualan runcit barangan kesenian & kekreasi -4.2 peratus, jualan runcit makanan, minuman & tembakau -2.7 peratus, dan jualan runcit peralatan informasi & komunikasi -0.3 peratus.
Walau bagaimanapun, jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar serta jualan runcit di gerai & pasar masing-masing mencatatkan pertumbuhan positif 17.9 peratus dan 2.1 peratus.
Bagi perbandingan bulanan, perdagangan runcit naik 1.4 peratus dengan kebanyakan kumpulan dalam subsektor ini mencatatkan pertumbuhan positif.
Katanya, penurunan -1.1 peratus bagi subsektor perdagangan borong pada bulan ini disebabkan oleh jualan borong barangan isi rumah yang menurun -12.1 peratus atau RM1.3 bilion kepada RM9.2 bilion diikuti oleh jualan borong jentera, peralatan & bekalan yang jatuh -10.4 peratus atau RM0.5 bilion kepada RM4.0 bilion.
Indeks jualan runcit melalui Internet merekodkan pertumbuhan 9.4 peratus tahun ke tahun (Jun 2021: 8.7 peratus). – MalaysiaGazette