KUALA LUMPUR – Situasi pandemik Covid-19 di seluruh dunia memberikan impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu dan masyarakat termasuk di Malaysia.
Terdapat peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun 2019.
Sehingga Julai 2021, sejumlah 638 kes bunuh diri telah dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berbanding 262 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 (Jan-Julai 2020) iaitu peningkatan sebanyak 143% atau 1.4 kali lebih banyak.
Ketua Pengarah Kesementerian Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, faktor-faktor sosial yang menyebabkan stres yang terlampau antaranya hilang pekerjaan atau sumber pendapatan, isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai juga boleh memberi kesan kepada sesetengah individu yang berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.
Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik, ianya berisiko untuk tingkah laku bunuh diri, katanya sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia.
Dengan tema ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri.
Selaras dengan ‘Konsep Keluarga Malaysia’, peranan masyarakat secara bersama bagi mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan dan tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang-orang yang disayangi terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.
Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri, rancangan bunuh diri, cubaan bunuh diri dankematian akibat tindakan bunuh diri.
Menurutnya, bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia, dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berumur daripada 15 hingga 29 tahun.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan di seluruh dunia terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun, dengan purata 1 kejadian bunuh diri setiap 40 saat.
Pada tahun 2019, satu dalam 100 kematian (1.3%) adalah disebabkan bunuh diri.
Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan bahawa seramai 135 ahli keluarga atau rakan-rakan akan mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.
Covid-19.
Justeru, Noor Hisham menambah, sluruh masyarakat boleh memainkan peranan dalam mencegah tingkah laku bunuh diri dengan:
- Mengambil tahu dan bertanya khabar ahli keluarga dan orang sekeliling terutamanya yang terkesan akibat situasi pandemik COVID -19;
- Berikan sokongan dan dorongan kepada mereka untuk mendapatkan bantuan dan rawatan;
- Elakkan penularan sebarang berita, video atau gambar berkaitan kejadian bunuh diri di media sosial;
- Buang stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku; dan
- Kekalkan hubungan dan berikan sokongan sosial terutama selepas sesuatu krisis berlaku.
Katanya, KKM akan terus komited dalam menjalinkan kerjasama serta mengalu-alukan pelbagai agensi lain untuk bersama mengambil bahagian dalam pelaksanaan pencegahan tingkah laku bunuh diri.
Usaha-usaha ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pencegahan tingkah laku bunuh diri, menghapuskan stigma terhadap tingkah laku bunuh diri dan seterusnya menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri. – MalaysiaGazette