PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan agihan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) iaitu Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 2020 adalah sebanyak lapan peratus.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, DPK di bawah NAFAS telah mencatatkan keuntungan sebanyak RM9.05 juta dengan keseluruhan nilai agihan dividen adalah berjumlah RM7.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Menurut beliau, DPK mampu memberikan pulangan yang kompetitif dan melebihi kadar inflasi secara konsisten dengan purata dividen sebenar sebanyak 8.8 peratus bagi lima tahun secara berturut-turut semenjak tahun 2016 serta mencatatkan keuntungan konsisten setiap tahun berkenaan dengan margin untung bersih melebihi 80 peratus.
“MAFI mengucapkan tahniah kepada NAFAS atas prestasi cemerlang bagi tahun 2020 dapat memberikan kadar dividen yang kompetitif kepada para pelabur SPKP, DPK.
“Meskipun tahun 2020 merupakan tahun yang sukar berikutan ketidaktentuan pasaran akibat penularan pandemik Covid-19 , NAFAS melalui DPK telah terus fokus kepada strategi pembiayaan dan kepelbagaian portfolio perbendaharaan bagi memberikan daya tahan dan pulangan yang memberangsangkan kepada ahli – ahlinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Dividen SPKP, DPK, NAFAS Tahun 2020 di kementeriannya di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid , Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Hashim dan Pengurus Besar NAFAS, Abu Sujak Sahuji.
Ronald menambah, ahli- ahli pertubuhan peladang di seluruh negara digalakkan untuk melabur bersama SPKP, DPK bagi menikmati pelbagai manfaat tambahan dalam membantu meningkatkan sumber ekonomi warga tani sekaligus mengukuhkan sektor pertanian negara secara keseluruhannya.
Pada masa sama, jelas beliau, pertubuhan peladang juga digalakkan untuk menambah jumlah pelaburan sedia ada yang dapat memberikan manfaat pulangan terbaik untuk seluruh ahlinya.
“NAFAS melalui DPK sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi untuk menjadi lebih kukuh dengan mempelbagaikan aktiviti pelaburan dengan alternatif pelaburan yang berisiko rendah dan sederhana rendah serta meneroka produk pembiayaan baharu.
“Manfaat dari perkara itu, para pelabur akan berpeluang untuk menikmati dividen yang lebih konsisten setiap tahun,” katanya.
Sementara itu, sejak dilancarkan pada 17 Disember 2012 sehingga Jun lalu, DPK telah menguruskan aset lebih RM210 juta menerusi 5,322 pelabur. – MalaysiaGazette