Home Nasional NAFAS sasar 10,000 pelabur DPK akhir 2022

NAFAS sasar 10,000 pelabur DPK akhir 2022

Temubual bersama Pengurus Besar NAFAS, Abu Sujak Sahuji pada Majlis Pengumuman Agihan Dividen Dana Peladang Kebangsaan di Wisma Tani, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyasarkan seramai 10,000 pelabur baharu Dana Peladang Kebangsaan (DPK) menjelang akhir tahun depan.

Pengurus Besarnya, Abu Sujak Sahuji berkata, agensi kerajaan itu sepatutnya mencapai sasaran jumlah pelabur itu pada tahun ini.

Namun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  menyebabkan sasaran itu tidak tercapai, katanya.

Ketika ini, menurut beliau, NAFAS memiliki 5,323 pelabur DPK yang  telah menguruskan aset lebih RM210 juta.

“Sebenarnya perancangan kami menyasarkan jumlah pelabur baharu dapat digandakan kepada menjelang akhir tahun depan namun gagal kerana pelaksanaan PKP.

“Jadi, tahun ini KPI untuk mencapai 10,000 pelabur dengan menggiatkan lagi promosi DPK kepada ahli-ahli peladang yang hampir satu juta orang,” katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan Agihan Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang – Dana Peladang Kebangsaan di Ruang Legar Tingkat 7, Blok 4G1, Wisma Tani, Putrajaya. Foto FARHAN MAHAMAD, 10. SEPTEMBER 2021.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Agihan Dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), DPK, NAFAS Tahun 2020 di kementeriannya di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid , Timbalan Ketua Pengarah Operasi Lembaga Pertubuhan Peladang, Nik Mohd Shaharil Nik Hashim

Mengulas lanjut, Abu Sujak menambah, NAFAS akan terus menerokai bidang pelaburan baharu dalam memberi pulangan lebih tinggi kepada pelabur DPK.

Kata beliau, antara sektor perniagaan baharu adalah Ar-Rahnu.

“Tujuan penubuhan DPK secara umumnya adalah bagi menyediakan perkhidmatan kewangan yang kompetitif serta menggembleng dana untuk diagihkan dalam bentuk pembiayaan dan pelaburan usahasama kepada ahli serta rangkaian Pertubuhan Peladang.

“Ia melibatkan NAFAS, 14 Pertubuhan Peladang Negeri, 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dan hampir satu juta ahli peladang berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, DPK sebelum ini telah membiayai beberapa projek stesen minyak antaranya Petronas dan Petron selain turut membiayai projek-projek tanaman semula ladang sawit, tanaman fertigasi, pembelian jentera pertanian serta modal pusingan ternakan ayam. – MalaysiaGazette