Home Nasional 10,916 penduduk Mukim 12 Batu Maung belum divaksin

10,916 penduduk Mukim 12 Batu Maung belum divaksin

Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 10,916 penduduk Mukim 12, Batu Maung masih belum mendapat suntikan vaksin berdasarkan rekod MySejahtera.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, Abdul Halim Hussain berkata, angka itu membimbangkan kerana kadar itu paling tinggi berbanding dengan mukim-mukim lain di Pulau Pinang.

Sebelum ini, pelbagai program dan kempen telah dijalankan oleh pusat khidmatnya bagi menggalakkan orang ramai mendaftar untuk mendapatkan vaksin di kawasan ini.

Baru-baru ini, Program Outreach KKM di DUN Batu Maung pada 21, 28, 29 Ogos dan 4 September telah mendaftar dan menyaksikan 2,000 penduduk divaksin termasuk bukan warganegara.

Jelasnya, angka MySejahtera 10,916 yang belum mendapat vaksin tidak mempunyai perincian nama dan alamat untuk diakses okeh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) oleh kerana data ini dikawal oleh pusat.

”Jumlah ini pada saya berkemungkinan besar warga asing yang mempunyai koloni yang besar di DUN Batu Maung yang bekerja khususnya di kilang dan sektor perkhidmatan di kawasan ini.

”Dari pemantauan kami juga sebahagian besar penduduk tempatan telah pun divaksin. Keadaan ini sudah tentu membahayakan komuniti di kawasan ini yang telah lama di bawah zon merah dan berpotensi berlakunya penularan wabak Covid-19 yang berpanjangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Oleh sebab itu, pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam laman sesawang baharu yang dikendalikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu COVIDNOW yang bertujuan memudahkan semua pihak untuk memperolehi data dan maklumat situasi semasa Covid-19 di Malaysia amat dialu-alukan.

Ia supaya ada ketelusan KKM dalam pengurusan pandemik Covid-19 yang selama ini dipersoalkan disebabkan kesukaran untuk memperoleh data terperinci dalam aplikasi MySejahtera atau mentafsir data granular yang dikongsi oleh kementerian berkenaan.

”Sehubungan itu, saya juga berharap YB Khairy dapat memberikan makluman terperinci mengenai angka 10,916 ini dan agensi berkaitan khususnya pihak Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dapat menjejak jumlah penduduk ini serta memastikan program outreach dilaksanakan supaya mereka dapat divaksinasikan secepat mungkin.

Pada masa yang sama, Khairy juga mengumumkan pesakit kategori 2B dan 3 yang berisiko tinggi akan dimasukkan ke Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 (PKRC) untuk mengelakkan keadaan pesakit bertambah teruk dan seterusnya membendung kes Brought In Dead (BID).

”Saya berharap usaha ini disegerakan dan pihak KKM diminta menyediakan kakitangan perubatan di pusat PKRC yang sedia ada untuk ditawarkan di Pulau Pinang seperti PULAZA bagi menampung keperluan mereka yang bergejala yang terpaksa berkuarantin di rumah yang kecil dan sesak khususnya penghuni rumah pangsa supaya golongan ini dapat menjalani kuarantin di tempat yang sesuai dengan pematuhan SOP,” ujarnya.

Selain itu, pusat panggilan  perlu sentiasa berada dalam keadaan “peperangan” dan mempertingkatkan keberkesanan dalam mengendalikan semua kes kecemasan supaya pesakit bergejala ringan yang berisiko dapat memperolehi rawatan segera sekiranya keadaan mereka bertambah kritikal.

Katanya, usaha memerangi wabak Covid-19 adalah seperti menghadapi peperangan sebenar cuma bezanya ialah kita menghadapi musuh yang tidak kelihatan yang telah mengakibatkan kehilangan 850 nyawa di Pulau Pinang dan jumlah 19,486 kes positif setakat 9 September, 2021.

Oleh yang demikian ia memerlukan kerjasama semua individu, keluarga, komuniti, agensi berkaitan dan kepimpinan pusat dan negeri seperti yang disebut YB Khairy bahawa ia memerlukan penglibatan secara menyeluruh oleh kerajaan dan masyarakat dengan ketelusan dan kecekapan dalam segala usaha memerangi pandemik ini. – MalaysiaGazette