Home Nasional 8 tuntutan mahasiswa kepada KPT

8 tuntutan mahasiswa kepada KPT

Pejabat Kementerian Pengajian Tinggi ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2021 di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2020.

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 27 badan bukan kerajaan yang mewakili mahasiswa membuat lapan tuntutan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung kemasukan mahasiswa ke kampus secara berfasa.

Lapan tuntutan itu ialah:
1. Sesi pembelajaran diteruskan secara atas talian namun mahasiswa perlu diberi pilihan untuk pulang ke kampus atau kekal di kediaman masing-masing.
2. Kemasukan mahasiswa ke kampus bagi sidang 2021/2022 perlu diberi keutamaan kepada mahasiswa yang berkeperluan.
3. Pihak KPT juga perlu memberikan keutamaan kepada mahasiswa yang telah lengkap vaksinasi.
4. Ujian saringan Covid-19 secara percuma bagi setiap mahasiswa yang akan mendaftar masuk secara fizikal di kampus.
5. KPT mengeluarkan garis panduan yang jelas dan mudah difahami oleh semua mahasiswa.
6. Memberikan jangka masa yang fleksibel kepada mahasiswa untuk pulang ke kampus mengikut kesesuaian dan keupayaan semasa mereka.
7. Memperkasakan portal Rumah Sewa Siswa supaya menjadi peneraju kepada harga sewaan yang berpatutan.
8. Mencadangkan untuk pihak KPT dengan kerjasama IPT serta kerajaan negeri untuk memberikan subsidi bagi menampung sebahagian kos pengangkutan terutamanya kos penerbangan. Caj pengangkutan perlu diletakkan pada harga yang munasabah dan jika boleh, dapat diusahakan untuk diberikan secara percuma kepada mahasiswa.

Dalam kenyataan bersama, NGO-NGO berkenaan berkata, keadaan hari ini masih belum mengizinkan untuk mahasiswa kembali menjalani sesi pembelajaran secara fizikal sepenuhnya.

Sungguhpun kadar vaksinasi semakin meningkat di negara kita, namun masih ramai mahasiswa dan warga kampus yang masih belum mendapatkan vaksin serta kes masih lagi tinggi setiap hari.

”Melihat kepada perkembangan mutakhir ini, mahasiswa Malaysia mengharapkan agar KPT mengambil kira faktor-faktor ini dan pada masa
yang sama dapat membuat keputusan yang bijaksana sebelum melaksanakan keputusan tersebut.

”Ianya sangat penting bagi memastikan nasib mahasiswa akan terus terbela dan kesilapan yang pernah berlaku sebelum ini tidak lagi berulang,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Kelab Mahasiswa UMNO Malaysia, Kelab Mahasiswa MCA Malaysia, Siswa MIC, PBRS Siswa, Kelab Mahasiswa Penyokong PAS- SiswaPAS, Mahasiswa Amanah Nasional, Mahasiswa Keadilan Malaysia, Mahasiswa Roket, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Majlis Perundingan Persada Kebangsaan dan Rakan Siswa Yadim (RSY).

Selain itu, Dewan Muda Johor, Undi18, Pendaulat Mahasiswa UKM, Gerakan Mahasiswa Melaka, Demokrat UKM, Evolusi Mahasiswa UTM, Aspirasi Mahasiswa UPSI (AM UPSI), Nadi Mahasiswa UPM, Aspirasi Mahasiswa UTHM, Wawasan IIUM, Perubahan Universiti Utara Malaysia, Revolusi Siswa Siswi UMP, Gerakan Mahasiswa Perak (GMPk), Persatuan Mahasiswa Batu Pahat dan Persatuan Mahasiswa Hulu Terengganu (PEMAHAT).

Mereka berharap agar lapan tuntutan ini dapat diterima serta dipertimbangkan oleh pihak KPT.

Jelas mereka, sekiranya lapan tuntutan ini dapat dituruti oleh pihak KPT, mahasiswa dapat pulang ke kampus dengan selamat dan mahasiswa dapat kembali meneruskan pembelajaran secara fizikal apabila tiba masa yang sesuai. – MalaysiaGazette