Home Sukan Negeri Sembilan FC ungguli Liga Premier

Negeri Sembilan FC ungguli Liga Premier

KUALA LUMPUR – Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Premier selepas menewaskan Sarawak United 1-0 pada saingan di Stadium Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

NSFC ketika ini mengumpul 38 mata selepas mengharungi 19 perlawanan manakala Sarawak United dikedudukan kedua dengan 37 mata.

Francis Kone muncul wira apabila menebus kesilapan gagal menyempurna penalti dengan menanduk gol kemenangan sekali gus memberi tiga mata berharga buat pasukan pelawat.

Kone bagaimanapun tidak bernasib baik apabila dilayangkan kad merah selepas membuka jersinya ketika meraikan jaringan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Pasukan tuan rumah juga menerima tamparan hebat apabila penjaga gol, Sharbinee Allawee dilayangkan kad merah selepas mengasari Mohd. Zamri Ramli pada minit ke-66 sekali gus NSFC dihadiahkan sepakan penalti.

Bagaimanapun, penyerang utama NSFC, Kone gagal memanfaatkan sepakan penalti yang diberikan selepas rembatan yang dilakukan tersasar melepas palang gol.

Sementara itu, di Stadium MB Petaling Jaya, pasukan feeder, Selangor 2 terpaksa akur dengan kekuatan Terengganu FC II (TFC II) selepas tewas dengan kekalahan 1-4.

Di Stadium UiTM, Shah Alam, pasukan Projek FAM-MSN mengalami kekalahan ke-15 pada kempen Liga Premier musim ini apabila Perak II melakar kemenangan 2-0. – MalaysiaGazette