Home Sukan Alih-alih hujung musim TFC nombor empat liga – Faisal

Alih-alih hujung musim TFC nombor empat liga – Faisal

Faisal Abd Halim (jersi putih).

KUALA LUMPUR – Penyerang Terengganu FC (TFC), Faisal Abd Halim mengakui cabaran yang semakin sukar perlu ditempuh selepas pasukan itu tewas dalam tiga perlawanan sebelum ini, sekali gus meletakkan pasukan di tangga keempat ketika ini.

Namun, itu tidak melunturkan semangat pemain-pemain bagi memberikan persembahan terbaik untuk kembali meletakkan pasukan di kedudukan lebih baik seperti mana yang pernah dilakukan pada awal musim.

“Ini memang satu cabaran yang sukar untuk kita kerana pada awal musim, kita dah selalu di tangga kedua atau ketiga, tetapi tiba-tiba pada aksi-aksi terakhir ini, kita di nombor empat, pastinya bukan senang untuk kita.

“Tidak guna kalau awal musim kita selalu di atas, tetapi bila dah nak tamat liga, kita di tempat keempat atau kelima, jadi memang kita kena menang juga dalam perlawanan akhir ini.

“Saya percaya dengan rakan sepasukan lain untuk kita semua beri sepenuh hati dan tetap bersemangat dalam misi wajib menang esok”, katanya.

Kedah Darul Aman FC yang kini di tangga kedua liga juga tidak terkecuali dalam misi perebutan naib juara untuk tiket beraksi di Piala AFC 2022 apabila bakal berdepan Melaka United FC.

Enam perlawanan terakhir Liga Super 2021 akan berlangsung serentak esok yang juga menjadi penentuan slot secara rasmi ke TM Piala Malaysia.

Johor Darul Ta’zim (JDT) pula sudah sah bergelar juara Liga Super dan meraih slot ke Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas pasukan lain gagal mengejar kedudukannya di puncak liga. – MalaysiaGazette