KUALA LUMPUR – Taman Tasik Titiwangsa di sini kembali diserbu warga kota yang mengambil kesempatan untuk beriadah bersama-sama keluarga pada hujung minggu.
Taman rekreasi terkenal di ibu negara itu kelihatan meriah dan ceria apabila orang ramai dapat kembali beriadah di luar selepas kelonggaran diberikan kerajaan baru-baru ini.
Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, pelbagai lapisan masyarakat datang sejak awal pagi tadi untuk bersukan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Meskipun ada kanak-kanak yang dibawa namun ibu bapa dan penjaga memastikan mereka mematuhi SOP khususnya mengamalkan penjarakan fizikal.
Sementara itu dua buah pusat beli belah di ibu kota di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Bukit Bintang di sini juga mula menjadi tumpuan.
Bagaimanapun aliran trafik masih terkawal.
Orang awam yang mengunjungi kedua-dua kompleks beli-belah tersebut juga mematuhi SOP.
Sudah tentu peralihan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang juga salah satu faktornya.
Untuk rekod, penduduk Lembah Klang iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing sudah boleh merentas sempadan daerah bermula 10 September lallu.
Sebelum itu, kerajaan juga telah melonggarkan SOP bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi, untuk negeri-negeri Fasa 1.
Bagi sektor perdagangan dan pengedaran; perniagaan kedai bunga/nurseri, kedai peralatan outdoor dan galeri perumahan akan mula dibenarkan beroperasi mulai tarikh sama bagi negeri-negeri yang berada di bawah Fasa 1.- MalaysiaGazette