Home Ekonomi Guna kaedah program rekalibrasi PATI atasi kekurangan tenaga buruh kelapa sawit

Guna kaedah program rekalibrasi PATI atasi kekurangan tenaga buruh kelapa sawit

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada pemandu e-hailing secara pandu lalu pada Majlis Program Pemberian Bakul Makanan kepada Pekerja Gig Ekonomi dan Bekas Petugas Media di Putrajaya Sentral, Putrajaya. Foto FARHAN MAHAMAD, 12 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kerajaan mahu menggunakan Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Tenaga Kerja sebagai langkah jangka pendek menangani segera masalah kekurangan tenaga buruh dalam industri kelapa sawit di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya yakin dengan pendekatan itu, masalah kekurangan tenaga buruh perladangan sawit dapat diatasi dalam tempoh tiga minggu lagi.

Katanya, kerajaan dalam usaha mencari pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi menangani kekurangan tenaga buruh menjadi kritikal selepas majoritinya pulang ke negara asal menerusi program rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin oleh Jabatan Imigresen.

Katanya, pihaknya telah mengemukakan permasalah ini kepada Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Kesihatan bagi mencari titik penyelesaian tetap secepat mungkin mengelak keadaan tidak bertambah kritikal.

“Sejak Januari tahun ini harga purata sawit mencecah RM4,100 satu tan metrik tetapi Felda dan anak syarikatnya FGV Holdings Berhad yang mengadapi kekangan besar kekurangan masing-masing 5,000 dan 10,000 tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan itu yang menyaksikan kerugian RM1.6 bilion untuk enam bulan pertama dan RM3.2 bilion untuk akhir tahun ini jika masalah tenaga buruh tidak ditangani segera.

“Pada April lalu, kerajaan sudah meluluskan untuk membolehkan buruh asing diambil bekerja tetapi masih belum ada perkembangan dan tenaga buruh asing ini ada dua iaitu satu pekerja asing baru dari luar negara dan pekerja asing yang sudah ada di dalam negera menerusi program rekalibrasi.

“Kita untuk jangka pendek ini hendak menggunakan kaedah program rekalibrasi PATI Tenaga Kerja untuk merekrut pendatang asing yang ada di dalam negara bagi mengisi kekurangan tenaga buruh perladangan sawit yang sangat diperlukan ini,” katanya dalam sidang media di Putrajaya Sentral hari ini.

Beliau berkata demikian langkah kerajaan untuk menangani masalah berkenaan selepas industri sawiti dijangka berdepan risiko kehilangan sehingga RM20 bilion setahun akibat kekurangan tenaga buruh asing yang sangat kritikal ketika ini.

Tambah Mustapa, selaku menteri yang membantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam hal Felda, membangkitkan perkara ini sekali lagi dalam jemaah mesyuarat yang lalu pada 10 September lau untuk pertimbangan KDN dan KKM.

Menurutnya pendatang asing yang sudah ada di dalam negara menerusi program rekalibrasi Tenaga Kerja perlu diberi keutamaan serius sebab perladangan sawit merupakan sumber utama negara memacu ekonomi.

“Selepas ini, kita akan panggil pihak berkenaan pada 13 September ini untuk berbincang semulauntuk menangani krisis pekerja asing dalam industri sawit dan kita akan tetapkan had masa iaitu diharap dalam masa dua tiga minggu lagi dapat ditangani segera.

“Saya rasa elok kita memberi fokus kepada pekerja-pekerja yang sudah ada dalam negara jika tidak industri kelapa sawit akan menghadapi masalah besar nanti.

“Oleh kerana kita terlalu bergantung kepada pekerja asing, kita akan menggunakan kaedah rekalibrasi ini kerana kita hadapi keengganan warga tempatan bekerja dalam sektor perladangan.

“Pertamanya kita nak galak mekanisasi, kedua nak pastikan kenaikan gaji serta faedah, kalau minimum gaji RM1,200 sebulan ditetapkan untuk warga tempatan, ia tak adil serta tidak menarik kepada anak muda.

“Namun di beberapa kawasan dia ada naikkan gaji sedikit dan memberi kemudahan umpama kemudahan rumah percuma dan elaun makan menjadikan sektor ini lebih menarik,” katanya.-MalaysiaGazette