PUTRAJAYA – Sesi persekolahan tahun 2021 akan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan.
Menerusi pelanjutan itu, murid akan kekal berada di tahun persekolahan masing-masing sehingga tahun depan sebelum naik ke kelas berikutnya pada Mac 2022.
Jelas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, tempoh itu akan digunakan untuk bagi memastikan tahap penguasaan murid mencapai tahap minima.
“Dalam tempoh dua bulan itu, sekolah akan gunakan oleh KPM untuk melihat tahap penguasaan murid dan melihat apakah bantuan, sokongan dan dukungan yang boleh diberikan bagi memastikan pelajar apabila naik ke kelas seterusnya telah mereka telah bersedia sepenuhnya.
“Oleh sebab itu untuk murid-murid yang mempunyai penguasaan yang masih lemah maka fokus waktu itu untuk melaksanakan program intervensi bagi membolehkan mereka menguasai tahap minimum sebelum mereka dapat naik ke kelas selanjutnya.
“Untuk murid yang cemerlang tempoh ini akan digunakan untuk mengukuhkan lagi kefahaman mereka bagi membantu mereka naik ke tahun berikutnya,” katanya ketika Sidang Media Pengoperasian Sekolah di sini hari ini.
Kata Radzi, ia bermakna, murid Tingkatan Satu tahun ini akan kekal berada kelas itu sehingga Febuari tahun 2022 sebelum naik ke Tingkatan 2 pada bulan Mac.
Menjawab persoalan adakah sesi persekolahan 2022 akan pendek berikutan bermula pada Mac, Radzi berkata, KPM masih meneliti perkara berkenaan sebelum membuat keputusan.
“Sama ada kita akan kekalkan ini kami sedang teliti berdasarkan sesi libat urus yang kami laksanakan dengan pelbagai pihak.
“Umumnya ibu-bapa di luar sana, anak-anak yang tidak berkesempatan sekolah tahun ini tahun hadapan insya-Allah keadaan makin baik kita dapat hidup keadaan yang lebih normal daripada sekarang,” katanya.
Tambah beliau, cuti akhir tahun pula akan bermula pada 10 atau 11 sehingga 31 Disember ini.-MalaysiaGazette