Home Nasional Ibu bapa enggan hantar anak ke sekolah tak langgar disiplin

Ibu bapa enggan hantar anak ke sekolah tak langgar disiplin

Senior Minister of Education Datuk Radzi Jidin teachers students school Covid-19 vaccine
Datuk Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Ibu bapa yang membuat keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah apabila sesi bermula 3 Oktober nanti tidak dianggap melakukan kesalahan disiplin.

Dalam masa yang sama, tidak ada surat amaran yang akan dikeluarkan oleh pihak sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jiddin.

Jelasnya, ini kerana KPM memahami kegusaran ibu bapa  terhadap penularan Covid-19 dalam negara.

Namun katanya, ibu bapa dan penjaga perlu menulis surat tunjuk sebab ketidakhadiran murid untuk direkodkan oleh pihak sekolah.

“Jika sudah buka sekolah, tidak hadir. tidak apa. Kami tidak akan hantar surat amaran tapi ibu bapa perlu menulis surat penjelasan kepada pihak sekolah,” katanya ketika Sidang Media Pengoperasian Sekolah di sini hari ini.

Kaedah itu, menurut Radzi  akan terpakai sehingga penghujung tahun 2021.

Dalam pada itu, tambahnya, murid yang akan hadir ke sekolah bermula 3 Oktober nanti juga dibenarkan untuk tidak memakai pakaian seragam.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat mengambil kira kemampuan ibu bapa untuk membuat persediaan anak-anak.

Namun ujar Radzi, murid perlu memakai pakaian yang sopan, kemas dan sesuai.

“Kita maklum ada baju seragam sekolah murid yang sudah tidak muat, jadi kita benarkan untuk pakai baju biasa, tidak pakai baju seragam, kita mahu mereka tetap ke sekolah” katanya.-MalaysiaGazette