DUNIA sedia maklum bahawa serangan wabak Covid 19 mengakibatkan pelbagai perspektif perubahan. Ianya termasuklah ekonomi, sosial, persekitaran, teknologi dan
sebagainya. Implikasi baik juga buruk menyebarkan beberapa pengajaran serta hikmah
buat masyarakat sejagat.
Acapkali didengar dan terpapar dalam penulisan, ramai yang membahas adalah kesan buruk Covid 19 seperti terjejas pendapatan, kehilangan pekerjaan, masalah mental, kawalan pergerakan oleh pemerintah, penutupan firma, perkilangan dan institusi pendidikan. Walhal, masih terdapat beberapa kebaikan dan kelangsungan aktiviti seperti perniagaan antarabangsa dan globalisasi sewaktu pandemik Covid-19 yang tidak disedari.
Antara hikmah yg diperoleh adalah keterlihatan keupayaan teknologi yang mampu
menyelesaikan beberapa halangan pertemuan manusia dalam mahupun luar negara,
halangan melakukan rutin harian secara bersemuka, halangan mendapatkan barangan
keperluan mahupun kehendak serta sebagainya. Teknologi juga membantu ekonomi
negara dan dunia yang menjunam akibat pandemik ini.
Menurut laporan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2020 mendapati, penggunaan Internet dalam kalangan rakyat berusia 15 tahun ke atas meningkat kepada 89.6 % tahun lalu berbanding 84.2% pada 2019, peningkatan sebanyak 5.4%.
Dalam pada itu, penggunaan Internet dengan bantuan alatan gajet sebagai
penghubung mempengaruhi perubahan budaya. Masyarakat semakin berkemahiran dalam
berkomunikasi menggunakan bahan teknologi. Perjumpaan atau mesyuarat masih
diteruskan melalui pelbagai aplikasi seperti Zoom Meeting, Google Meet, Cisco Webex
malah WhatsApp Video Call dan Instragram Video Call juga digunakan.
Sedarkah anda bahawa syarikat-syarikat ini juga merupakan syarikat antarabangsa yang memberikan perkhidmatan secara maya kepada masyarkat? Selain itu, pembudayaan ini bukan sahaja melibatkan masyarakat tempatan malah masyarakat global. Sebagai contoh, kita dapat lihat fesyen pakaian dan makanan antarabangsa yang viral di medium elektronik telah menjadi ikutan masyarakat. Maka sudah terang lagi bersuluh, teknologi membuktikan bahawa pembudayaan silang budaya masih berlaku semasa pandemik Covid 19.
Di samping itu, perniagaan antarabangsa masih beroperasi untuk memenuhi kehendak dan keperluan manusia serata dunia. Pada awal penularan wabak ini, Malaysia mengalami kekurangan pelitup muka sehingga terpaksa mengehadkan pemakaian pelitup
muka kepada barisan hadapan dan mereka yang mempunyai gejala sahaja. Isu ini telah
pun di hebahkan sehinggakan Malaysia telah pun mengimport pelitup muka dari pasaran
luar negara.
Tambahan pula, pemesanan barang secara atas talian ibarat cendawan yang
tumbuh selepas hujan. Para peniaga dan usahawan tidak melepaskan peluang untuk
memasukkan produk mereka secara atas talian bagi memudahkan pelanggan mendapatkannya. Lebih-lebih lagi barangan yang dipesan dari luar negara mampu untuk
tiba kepada pelanggan hanya dengan sekejap sahaja. Medium atas talian ini turut merupakan pintu kedua bagi syarikat antaranbangsa yang mana membantu untuk
menemui pelanggan dari segenap pelusuk dunia dengan cara terpatas.
Maka tidak hairanlah jika pandemik ini berlarutan sehingga menjadi endemik kerana
globalisasi itu hanya di hujung jari. Benarlah dunia tanpa sempadan. Jadi percaya atau
tidak, anda tetap terglobalisasi sewaktu pandemik ini.Buktinya berita dunia juga dapat
kita diketahui dan ikuti. Sewaktu perintah kawalan pergerakan dikenakan, seluruh
masyarakat Islam dunia menyebarkan kesedaran solidariti buat rakyat Palestin. Tepuk
dada tanyalah selera, jika masih belum sedar, bangunlah sebelum kita dihapus ombak
globalisasi dunia.
Oleh: Razinda Tasnim Abdul Rahim
Pensyarah Perniagaan Antarabangsa,
Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Kolej Universiti Islam Perlis