Home Dunia Taliban benar wanita menuntut di universiti tapi kelas berasingan

Taliban benar wanita menuntut di universiti tapi kelas berasingan

Sebahagian wanita Afghanistan melakukan protes untuk mendapatkan hak yang sama daripada kerajaan Taliban. foto AP

KABUL – Wanita di Afghanistan boleh terus belajar di universiti, termasuk di peringkat pascasiswazah, tetapi kelas akan dipisahkan mengikut jantina dan pakaian Islam adalah wajib, kata Taliban.

Pengumuman itu dibuat ketika seorang pegawai Taliban memaklumkan Menteri Luar Negeri Qatar tiba di Kabul – pelawat tertinggi sejak Taliban mengumumkan Kabinet sementara.

Dunia telah mengawasi dengan teliti sejauh mana Taliban mungkin bertindak berbeza daripada kali pertama mereka berkuasa pada akhir 1990-an.

Selama era itu, kanak-kanak perempuan dan wanita tidak mendapat pendidikan dan tidak mendapat keadilan dalam kehidupan sebagai orang awam.

Namun setelah kembali berkuasa di Afghanistan, Taliban meminta wanita untuk meletakkan kepercayaan kepada mereka.

Tetapi wanita dilarang bersukan dan Taliban telah menggunakan kekerasan sejak kebelakangan ini terhadap penunjuk perasaan wanita yang menuntut hak yang sama.

Menteri Pengajian Tinggi Afghanistan Abdul Baqi Haqqani dalam kenyataan medianya berkata, Taliban tidak mahu mengulangi corak pemerintahan 20 tahun lalu.

”Kami akan mula membangun apa yang ada pada hari ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, pelajar universiti wanita akan menghadapi sekatan, termasuk kod pakaian wajib.

Haqqani mengatakan tudung adalah wajib tetapi tidak menyatakan apakah maksud wajib bertudung atau memakai niqab.

Pemisahan gender juga akan diteruskan, katanya.

“Kami tidak akan membenarkan budak lelaki dan perempuan belajar bersama,” katanya.

“Kami tidak akan membenarkan pendidikan bersama,” tegasnya.

Haqqani berkata, mata pelajaran yang diajar juga akan dikaji semula.

Walaupun dia tidak mengulas lanjut, tetapi berkata, kerajaan Taliban mahu graduan universiti Afghanistan bersaing dengan lulusan universiti di rantau ini dan seluruh dunia.

Taliban, yang mengikuti tafsiran Islam yang ketat, melarang muzik dan seni semasa mereka berkuasa sebelum ini.

Kali ini televisyen masih ada dan saluran berita masih menunjukkan penyampai wanita, tetapi kenyataan Taliban tidak menentu.

Dalam wawancara di TOLO News yang popular di Afghanistan, jurucakap Taliban, Syed Zekrullah Hashmi, minggu lalu mengatakan wanita harus melahirkan dan membesarkan anak.

Walaupun Taliban tidak menolak penyertaan wanita dalam pemerintahan, jurucakap itu mengatakan “tidak perlu wanita berada dalam Kabinet”. – Reuters