JOHOR BAHRU – 19 individu yang leka berhibur bersama ‘pelayan wanita’ dalam premis kedai makan dan minum di Taman Pelangi, di sini ditahan polis Ibu Pejabat Daerah Selatan (JBS) kira-kira pukul 9 malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, serbuan dijalankan menerusi Ops Noda membawa tahanan mereka berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Ia melibatkan 14 lelaki dan empat wanita tempatan serta seorang wanita warga China.
“Hasil pemeriksaan dilakukan, polis menahan 19 individu di dalam premis itu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pusat hiburan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu PPN.
“Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala 17 warga tempatan dikenakan kompaun RM5,000 masing-masing kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial.
“Sementara itu, seorang lagi warga asing dikenakan tahanan reman selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kes tersebut akan disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 (PPDPPB 2021). – MalaysiaGazette