KUALA LUMPUR – Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyambut baik pembukaan sesi sekolah pada 3 Oktober ini yang diumumkan Kementerian Pendidikan kelmarin.
Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, ia adalah langkah untuk mendekatkan semula pelajar dengan institusi pendidikan secara bersemuka setelah hampir lima bulan mereka tidak dapat hadir ke sekolah.
Katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula pada 12 Mei lalu, sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) 2.0 menjadi medium pendidikan di seluruh negara.
Menurut beliau, KPM juga telah melaksanakan pelbagai usaha yang komprehensif sepanjang proses perbicangan dan sesi libat urus bersama pelbagai pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), para pelajar dan pemegang taruh dalam sistem pendidikan.
Usaha itu, katanya, telah memberikan pelbagai input kepada KPM dalam mengeluarkan garis panduan pembukaan sekolah bermula 3 Oktober nanti.
“Kerjasama dan perbincangan yang juga telah dibuat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga menunjukkan bahawa KPM serius dalam memastikan keselamatan pelajar-pelajar tetap berada pada tahap optimum di kala kebimbangan jangkitan Covid-19 terus menjadi perbualan.
“Terima kasih kepada Datuk Dr Radzi Jidin dan warga KPM yang bertungkus lumus dalam menjayakan pelan komprehensif bagi memastikan para pelajar dapat kembali ke sekolah dengan SOP dan norma baharu sesi persekolahan,” ujarnya.
Dalam masa sama, GPMS juga kekal serius dalam usaha memastikan keselamatan pelajar -pelajar sepanjang sesi pembelajaran bersemuka berlangsung.
Oleh itu, segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mestilah diikuti serta dipatuhi sepenuhnya.
GPMS turut mengucapkan penghargaan kepada para ibu bapa atas segala sikap toleransi dan kerjasama yang diberikan kepada pihak guru dan anak-anak masing-masing sepanjang PdPR.
“GPMS berharap semua pihak terutama kepada guru-guru untuk memastikan diri masing-masing telah mendapatkan suntikan vaksin sebelum sesi persekolahan bersemuka bermula.
“Malah kepada ibu bapa juga diharap dapat terus memberi kerjasama yang baik kepada pihak sekolah sebaik sesi persekolahan secara bersemuka bermula nanti,” katanya. – MalaysiaGazette