SHAH ALAM – Polis sedang melengkapkan kertas siasatan ke atas pemandu pacuan empat roda yang melawan arus dan positif dadah hingga mengakibatkan dua maut di Lebuhraya Persekutuan pada awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, saksi yang merakam video tragedi itu telah tampil bagi membantu siasatan pada jam 9 malam tadi.
Saksi juga hadir bersama-sama dua rakannya yang ada dalam kenderaan semasa kejadian itu untuk membantu polis.
“Kita akan melengkapkan siasatan kelak untuk tindakan sewajarnya berlunaskan undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan ringkas petang tadi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Dalam kejadian awal pagi itu, dua mangsa masing-masing seorang remaja perempuan 18 tahun yang merupakan pemandu kereta dan seorang lelaki 19 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kejadian itu, kereta yang dinaiki mangsa dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu melawan arus di 8.5 Kilometer Lebuh Raya Persekutuan.
Hasil saringan awal ujian air kencing pemandu Mitsubishi itu didapati positif dadah jenis ganja.
Dia direman selama tujuh hari sehingga 17 September ini untuk membantu melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 41 APJ 1987 yang menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya.- MalaysiaGazette