SHANGHAI – Pihak kuasa di Shanghai dan wilayah-wilayah pesisir membatalkan penerbangan dan menangguhkan sesi persekolahan, kereta bawah tanah dan kereta api ketika Taufan Chanthu menghampiri China.
Tahap ribut dengan angin lebih dari 170km/j telah diturunkan daripada taufan super menjadi taufan kuat dan dijangka lemah secara beransur-ansur, kata pihak berkuasa bandar Shanghai menerusi akaun WeChat.
Meskipun begitu, ia dijangka membawa angin kencang dan hujan lebat ke wilayah pesisir.
Wilayah Zhejiang dekat Shanghai telah meningkatkan respons daruratnya ke tahap tertinggi pada hari Ahad, menutup sekolah dan menangguhkan penerbangan dan perkhidmatan kereta api di beberapa bandar, lapor agensi berita Xinhua.
Zhejiang juga mengeluarkan amaran merah untuk banjir kilat di sembilan daerah.
Pelabuhan Ningbo, pusat pengangkutan kontena kedua terbesar di China telah menghentikan operasi sejak tengah hari.
Pelabuhan itu baru beroperasi semula akibat kesesakan selama beberapa minggu ekoran Typhoon In-Fa pada akhir Julai dan penutupan terminal yang berkaitan dengan Covid-19 pada pertengahan Ogos.
Shanghai yang mempunyai sekitar 26 juta populasi membatalkan semua penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong mulai jam 11 pagi waktu tempatan, sementara penerbangan dari lapangan terbang Hongqiao yang lebih kecil dibatalkan dari jam 3 petang.
Terminal pelabuhan di wilayah Shanghai menghentikan perkhidmatan import dan eksport kontena mulai hari ini hingga diberitahu kelak.
Taman-taman, tempat tarikan pelancongan luar dan taman permainan akan ditutup pada hari Isnin dan Selasa.
Kelas juga akan ditangguhkan pada hari Isnin petang dan Selasa.
Meteorologi menjangkakan curahan hujan antara 250mm hingga 280mm di beberapa wilayah termasuk di tenggara Jiangsu serta timur laut Shanghai dan Zhejiang.
Taufan yang melalui pantai timur Taiwan pada hujung minggu lalu telah menyebabkan gangguan pada perkhidmatan pengangkutan dan bekalan elektrik. – Reuters