KUALA LUMPUR – Prosiding akhir pendakwaan kes membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditangguh oleh Mahkamah Tinggi pada pukul 11 pagi ini memandangkan Presiden UMNO itu perlu hadir sesi pemilihan Dewan Rakyat.
Pagi ini, peguam mewakili beliau, Hamidi Mohd Noh memohon kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk prosiding tamat lebih awal memandangkan anak guamnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Dato perlu hadir sesi undian tersebut.
Kata Hamidi, Ahmad Zahid hanya menerima surat berkaitan undian di Dewan Rakyat lewat petang semalam.
“Undian pemilihan di Dewan Rakyat dijangka sekitar 12.30 tengah hari ini. Kita mohon prosiding jam 9.30 pagi sehingga 11 pagi sahaja bagi memberi laluan kepada anak guam kami hadir sesi penting itu.
“Anak guam kami perlu sekurang-kurangnya setengah jam untuk bergerak ke Parlimen,” katanya ketika prosiding sebentar tadi.
Untuk makluman, pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu adalah antara tumpuan persidangan Parlimen, hari ini.
Pemilihan jawatan yang dikosongkan Datuk Seri Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14.
Collin kemudian membenarkan permohonan tersebut dan prosiding ditamatkan lebih awal daripada biasa hari ini.
Ketika ini, Mahkamah Tinggi sedang mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. -MalaysiaGazette