KUALA LUMPUR – Pemandu Perodua Myvi yang memandu melawan arus di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) dalam kejadian 4 September lalu dihukum penjara tiga hari dan denda RM8,000 di Mahkamah Trafik, Jalan Duta hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pemandu berusia 24 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans itu mengaku bersalah ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.
“Pemandu kenderaan tersebut telah dituduh pada pagi ini mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
“Pemandu telah mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara selama tiga hari dan denda RM8,000, sekiranya gagal untuk membayar denda akan dipenjara selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sarifudin, pemandu terbabit juga telah hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen dalam tempoh lima tahun dari tarikh sabitan.
Media pada 4 September lalu melaporkan, sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna kelabu dipandu oleh seorang lelaki di kesan memandu secara melawan arus dari arah Tol MEX menghala ke pusat bandar.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A. Anbalagan berkata, pihaknya telah menerima laporan dari anggota Kaunter Pertanyaan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang pada pukul 1.16 tengah hari selepas mengesan rakaman video berkenaan.
“Hasil semakan pada kamera litar tertutup di Plaza Tol Mex Seri Kembangan juga mendapati pemandu terbabit membawa Myvi melawan arus bermula dari kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seri Kembangan,” katanya. – MalaysiaGazette