Home Nasional Dakwaan berlaku serangan, rakyat Jepun tak perlu bimbang – CPO

Dakwaan berlaku serangan, rakyat Jepun tak perlu bimbang – CPO

Mohd Shuhaily (tengah) mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang memberi jaminan kepada warga Jepun yang tinggal di negeri itu supaya jangan gusar berhubung dakwaan berlaku serangan pengganas di rumah ibadat dan kawasan tumpuan ramai di beberapa negara di Asia Tenggara.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, tiada ancaman dikesan namun pihaknya telah meningkatkan pemeriksaan di lokasi kepentingan yang mempunyai hubung kait dengan Jepun serta luar negara.

“Mengambil daripada kenyataan daripada Ketua Polis Negara (Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani) yang menidakkan ancaman itu, kita sudah buat persediaan rapi.

“Rakyat Jepun di negeri ini tak perlu bimbang berhubung dakwaan tersebut dan apa yang boleh saya katakan tahap ancaman itu tidak wujud,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang hari ini.

Terdahulu, Kedutaan Jepun di Malaysia telah mengeluarkan amaran kepada warga negaranya berkenaan kemungkinan wujudnya ancaman pengganas di Asia Tenggara.

Amaran itu memetik laporan perisikan dan kemungkinan terdapat serangan ke atas rumah ibadat dan tempat perhimpunan besar-besaran di rantau ini

Kementerian Luar Jepun turut menasihati semua rakyat negara itu sama ada yang berada di Indonesia, Filipina, Singapura, Malaysia, Thailand dan Myanmar agar mengelak daripada berada berdekatan dengan kemudahan keagamaan dan kawasan-kawasan sesak lain.

Untuk rekod, Kedutaan Jepun menegaskan kira-kira 31,000 rakyat tinggal di Malaysia. – MalaysiaGazette