KUALA LUMPUR – Pelawak, Shuib akhirnya dapat membawa pulang anak bongsunya bersama Allahyarham Siti Sarah, Ayash Affan hari ini.
Menerusi hantaran InstaStorynya sebentar tadi, dia memaparkan sedang memangku Ayash yang berusia sebulan lapan hari di dalam kereta.
“Terasa janggal, dulu balik hospital bertiga tetapi hari ini pulang berdua.
“Insya-Allah, Alah SWT Maha Mengetahui segala-galanya. Uwais, Talita dan Martin, Daddy sudah dalam perjalanan pulang,” kata pemilik jenama minuman popular, BubbleBee itu.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, bagaimanapun masih belum berkongsi foto wajah anak bongsunya itu.
Media hari ini melaporkan Ayash dibenarkan keluar dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Cheras, Kuala Lumpur.
Lebih manis, berita tersebut diterimanya sehari sebelum hari ulang tahun arwah Siti Sarah yang ke-37 esok.
Sebelum ini, Shuib berkongsi berita gembira apabila dibenarkan berjumpa Ayash selama tiga jam.
Pada 25 Ogos lalu, Shuib memberitahu Ayash yang lahir pramatang pada 6 Ogos lalu sudah dikeluarkan daripada inkubator di HCTM UKM dan dijangka dibenarkan dibawa pulang pada bulan ini.
Selain itu, Ayash juga telah diberi susu badan oleh ibu susuannya iaitu sepupu Shuib.
Ayash dilahirkan secara pembedahan tiga hari sebelum Siti Sarah menghembuskan nafas terakhirnya pada 9 Ogos lalu akibat Covid-19.
Shuib dan Sarah yang mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2011.
Pasangan itu dikuniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6. – MalaysiaGazette