Home Nasional Jangan ambil mudah isu tahanan Filipina di depoh Kota Kinabalu

Jangan ambil mudah isu tahanan Filipina di depoh Kota Kinabalu

MHO menyerahkan memorandum ke Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Kedutaan Filipina hari ini digesa untuk menyegerakan proses pengeluaran rakyat negara itu yang sedang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Kota Kinabalu, Sabah.

Malah apa yang lebih memilukan apabila rata-rata tahanan itu berada dalam pusat tahanan itu melebihi tempoh setahun.

Justeru itu, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Kedutaan Filipina di sini supaya dengan segera melakukan proses dokumentasi bagi mengeluarkan  rakyatnya di depot berkenaan.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pihaknya kecewa dengan cara kedutaan itu yang didakwa lambat menangani proses pengeluaran dokumen perjalanan.

Kata Hishamuddin, hakikatnya sikap dingin dan seperti tidak acuh  itu sebenarnya satu krisis kemanusian yang tidak sepatutnya berlaku lagi-lagi dalam keadaan dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Proses pengeluaran dokumen perjalanan oleh Kedutaan Filipina sebenarnya telah menyebabkan ramai dalam depoh itu ditahan lebih daripada tempoh tidak munasabah, ada yang sudah lebih setahun. Anda fikir sendiri, adakah ini logik?

“Kami mendapat makluman ada antara mereka yang ini lumpuh, sakit, tekanan emosi dan banyak lagi isu lain kerana ditahan begitu lama. Jangan lupa juga, kini kita juga sedang berdepan dengan keadaan Covid-19.

“Sepatutnya Kedutaan lebih praktikal dengan mengambil dengan mengambil kira juga kos yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dalam menanggung semua warganegara Filipina dalam tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Filipina di Jalan Kia Peng hari ini.

MHO gesa Kedutaan Filipina tampil segera selesai isu dokumen perjalanan rakyat yang di tahan di depoh tahanan.

Hishamuddin mendakwa, rata-rata tahanan kini terpaksa menjalani hukuman lebih lama berbanding dari tempoh penjara yang ditetapkan.

“Perlu difahami, semua tahanan dihantar ke depoh itu selepas menjalani hukuman kesalahan masing-masing di penjara atau selepas membayar denda di mahkamah tetapi terpaksa menunggu perintah pengusiran hanya selepas mendapat dokumen dari pihak kedutaan.

“Amat tidak adil mereka terpaksa berada di sana dalam suatu tempoh yang lama hanya kerana faktor dokumen perjalanan lambat diproses serta dalam kebanyakkan kes mereka menunggu di depoh lebih lama,” ujarnya.

Jelas Hishamuddin lagi, pihaknya juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kedutaan Filipina dan juga kerajaan negeri Sabah untuk tidak memandang remeh isu itu sebaliknya mereka perlu duduk semeja menyelesaikan krisis kemanusiaan yang berlaku.

“MHO lihat satu mekanisme yang mudah dan teratur perlu dilaksana bagi memudahkan pergerakan perjalanan tahanan untuk pulang ke negara asal dalam kadar segera tanpa mereka ditahan terlalu lama di depoh Imigresen.

“Jangan sampai ada yang mati ramai-ramai di depoh tahanan kerana kita di MHO sudah dengar dua kali berlakunya rusuhan di pusat tahanan itu, tolonglah,” tegasnya. -MalaysiaGazette