Home Pendapat Tangani kuota jemaah solat Jumaat dengan bijaksana

Tangani kuota jemaah solat Jumaat dengan bijaksana

Orang ramai menunaikan solat Jumaat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan penjarakan fizikal pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 seluruh Kuala Lumpur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Jamek, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2021.

PANDEMIK  COVID-19 benar-benar telah mencorak perubahan terhadap kehidupan masyarakat dalam segenap aspek. Antara skop yang terkesan secara langsung hingga kini ialah pelaksanaan ibadah solat Jumaat dalam kalangan masyarakat Muslim di negara ini. Kalau kita masih ingat, sewaktu mula-mula pandemik melanda negara dan diarahkan masjid dan surau agar ditutup, timbul suara yang membantah dengan tagline “kami lebih takutkan Allah SWT”. Kebelakangan ini pula, timbul persoalan tentang kuota jemaah yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau untuk menunaikan ibadah khususnya solat Jumaat.

Lebih mutakhir,  pertikaian tentang kuota VIP hadir solat Jumaat yang memperlihatkan seolah-olah wujudnya dwidarjat antara masyarakat dalam melaksanakan ibadah ini.
Tentang ibadah solat Jumaat, tidak dapat dinafikan bahawa ibadah ini sangat signifikan dalam kehidupan masyarakat muslim. Bahkan kalau diperhatikan, salah satu ibadah yang dapat menghimpunkan sejumlah jemaah yang ramai ialah solat Jumaat. Hal ini memberi gambaran betapa ihtimamnya masyarakat terhadap ibadah ini. Malah, hal tersebut
lebih terzahir dalam pelaksanaan ibadah semasa tempoh pandemik.

Mana tidaknya, walaupun telah diwujudkan sistem penggiliran dengan mengisi nama sebelum hadir, terdapat juga sebilangan masyarakat yang sanggup hadir mencuba nasib secara walk in di bawah panas terik matahari. Mengamati keadaan ini, tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat semakin rindu untuk hadir ke rumah Allah SWT menunaikan solat Jumaat.

Sungguhpun begitu, persoalan yang masih belum dapat diselesaikan hingga kini ialah
soal kuota jemaah. Rentetan itu, timbul pertikaian terhadap kuota VIP yang diperuntukkan secara khusus oleh institusi masjid dan surau hingga mendapat perhatian dan pertikaian pihak-pihak tertentu. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat sedang menangani isu ini dengan pandangan yang bercampur aduk emosi yang kurang wajar.

Mengamati isu tersebut, beberapa nokhtah penting wajar diberikan perhatian dan pertimbangan. Isu VIP ini sebenarnya termasuk dalam bab meletakkan seseorang sesuai dengan kedudukannya dalam masyarakat. Ia boleh dikelaskan dalam bab adab sebagaimana seseorang yang tinggi ilmunya dimuliakan kehadirannya. Begitu juga halnya seseorang yang tinggi kedudukannya maka perlu diraikan mereka sesuai dengan status mereka.

Perkara ini jelas dapat difahami melalui sunnah Nabi SAW apabila Jarir bin 'Abdillah
RA datang ke majlis Rasulullah SAW, dan bersama Baginda ketika itu para sahabat sehingga Jarir bin Abdillah RA tidak menemukan tempat duduk. Rasulullah SAW memberikan rida' milik Baginda, maka Jarir mendapatkan rida' tersebut dan menciumnya dan berkata: Allah SWT memuliakan Kamu sebagaimana Kamu memuliakan aku. Kemudian sahabat ini meletakkannya kembali kepada Rasulullah SAW. Kemudian  Baginda bersabda mafhumnya:"Barangsiapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, jika dia didatangi orang yang mulia dalam sesuatu kaum maka hendaklah dia memuliakan orang tersebut (Hadis riwayat al-Hakim). Dalam jalur riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: "jika kamu didatangi oleh orang mulia di dalam kaumnya, maka muliakanlah dia" (Hadis riwayat Ibn Majah). Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa memberikan kemuliaan kepada mereka yang selayaknya adalah dituntut dalam syariat Islam.

Maka, jika diterapkan terhadap praktikal kuota golongan tertentu dalam menunaikan ibadah solat Jumaat misalnya, sewajarnya ia tidak dipertikaikan. Lebih lanjut lagi, kedudukan solat jumaat ini sebenarnya selain dilihat dari perspektif ibadah mahdah, ia turut mempunyai dimensi yang pelbagai seperti politik, kemasyarakatan, kenegaraan dan seumpamanya. Oleh itu, pemerintah sebenarnya sangat berperanan dalam perlaksanaan solat jumaat.

Sebab itu kalau diperhatikan dalam amalan semasa, khutbah solat Jumaat ini dijadikan medium untuk mendoakan pemerintah secara khusus. Hal seumpama ini mempunyai asasnya dan boleh diperhalusi dengan lebih lanjut melalui wacana al-Sarkahsi dalam kitabnya al-Mabsut dan al-Mawardi dalam karya al-Ahkam al-Sultaniyyah.

Di samping itu, terdapat juga perbincangan tentang keharusan mendirikan dua (atau
berbilang) tempat Jumaat pada satu kawasan yang sama. Dalam hal ini, keabsahan tempat menunaikan solat Jumaat sekiranya berlaku ta’addud ditentukan berdasarkan tempat di mana pemerintah mendirikan solat ini. Maka Jumaat yang didirikan bersama pemerintah itu adalah solat Jumaat yang sah.

Mengamati perbincangan fekah silam ini, ianya melambangkan betapa akrabnya ibadah Jumaat ini dengan pemerintah dan pemeritahannya. Berdasarkan premis ini, mungkin boleh dipersoalkan, bolehkah pemerintah dianggap “VIP” dalam kehadiran solat Jumaat? Atau adakah naib al-amir (pemangku pemerintah) atau wakilnya juga memenuhi
kriteria tersebut. Justeru, perbincangan ini boleh diluaskan untuk diperhalusi dan difahami
dengan lebih baik.

Memperhalusi isu kuota solat Jumaat, kebanyakan masyarakat hangat mempersoalkan
pelaksanaan SOP ibadah ini kerana mewujudkan limitasi yang sangat terhad. Perlu difahami bahawa, perbincangan sentiasa dilakukan dari masa ke semasa dalam memantapkan dan mengemaskini SOP. Pertimbangan dibuat berasaskan nasihat kerajaan (Kementerian Hal Ehwal Agama dan JAKIM), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan MKN. Kemudian pandangan diambil dari jawatankuasa keselamatan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri untuk menetapkan sesuatu SOP. Dalam bahasa mudahnya, pelbagai pihak telah terlibat dalam merangka SOP ibadah ini.

Melalui penjelasan yang diketengahkan melalui rencana ini, perlu ditegaskan
beberapa kesimpulan penting. Pertama, SOP yang diperkenalkan terhadap pelaksanaan
ibadah dalam tempoh ini mempunyai objektif yang penting iaitu hifz al-nafs dengan maksud  mencegah masyarakat daripada terkena jangkitan wabak COVID-19. Kedua, kerinduan masyarakat dalam melaksanakan ibadah perlu diimbangi dengan akhlak dan etika yang baik.

Perbuatan mencaci, menghina dan seumpamanya bakal menghapuskan amal ketaatan yang dilakukan. Ketiga, pelaksanaan SOP oleh jawatankuasan masjid surau perlu diawasi dan diperkemas agar tercapai objektif SOP tersebut. Keempat, pihak berwajib disarankan agar mewujudkan lebih banyak ruang atau tempat solat bagi memberi ruang kepada jemaah di sesuatu kawasan. Hal ini bagi mencegah terbentuknya normalisasi meninggalkan ibadah ini.

Dr. Muhammad Ikhlas Rosele & Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

+ posts