Home Nasional Suami isteri tanam pokok ganja di balkoni kondominium ditahan

Suami isteri tanam pokok ganja di balkoni kondominium ditahan

Soffian (dua dari kiri) menunjukkan pokok ganja dan dadah lain yang dirampas polis pada sidang media di IPD Timur Laut, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Cubaan sepasang suami isteri menanam sendiri pokok ganja daripada biji benih yang dibelinya untuk kegunaan sendiri membawa padah selepas mereka ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Ayer Itam di sini, semalam.

Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu kondominium berkenaan pada jam 1.30 pagi sebelum menahan suspek lelaki berusia 38 tahun di pekarangan bawah kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong berkata, hasil pemeriksaan ke atas pengurus sebuah stesen minyak itu polis menjumpai tiga paket dadah jenis ganja dan syabu.

Soffian (tengah) menunjukkan pokok ganja serta dadah yang dirampas pihaknya di sebuah kondominium di Ayer Itam di sini, semalam.

Soal siasat terhadap suspek kemudian membawa polis ke kediaman sewanya di kondominium berkenaan sebelum polis menemui 13 paket ganja dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua batang pokok ganja belum matang yang ditanam dalam pasu plastik dan diletakkan di bahagian balkoni kondominium.

Dua pokok ganja yang dirampas polis.

“Tinggi pokok ganja itu masing-masing berukuran 19 dan 40 sentimeter yang dianggarkan bernilai RM1,180.

“Dalam serbuan itu, kita turut menahan isteri suspek berusia 36 tahun yang juga kerani di stesen minyak suaminya bekerja,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini, hari ini.

Turut dirampas baja yang dipercayai untuk kegunaan pokok ganja itu, kenderaan jenis Proton Exora serta wang tunai.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, hasil soal siasat lelaki berkenaan mengaku sekadar mencuba menanam pokok itu selepas mendapati ada biji benihnya di dalam paket ganja kering yang dibelinya sebelum ini.

Ganja, syabu serta peralatan menghisap dadah turut dirampas dalam serbuan berkenaan.

“Suspek mengaku tanam pokok serta dadah yang dirampas dalam milikan serta kediaman itu untuk kegunaannya sendiri, namun kita akan menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dalam pengedaran atau sebaliknya memandangkan jumlah dadah yang dirampas agak banyak.

“Secara keseluruhan nilai rampasan dadah dan aset berjumlah RM35,591,” jelas Soffian.

Tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan pasangan berkenaan kini direman sehingga 19 September untuk siastatan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukan hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang enam kali; Seksyen 39A(2) dan 39(1) akta yang sama. – MalaysiaGazette