KUANTAN – Seramai 27 pesalah trafik dikenakan saman kerana gagal mematuhi waktu larangan kenderaan berat di jalan raya.
Timbalan Ketua Polis daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin berkata, Ops Perdagangan diadakan pada Isnin lalu bagi memantau pemandu kenderaan berat yang gagal mematuhi peraturan.
“Sebanyak 88 buah kenderaan diperiksa dan melibatkan perlbagai jenis kesalahan.
“Antara kesalahan lain yang dikenalpasti termasuk tidak memakai tali pinggang keledar, lesen tamat tempoh dan nombor plat diubahsuai,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Tambah Rizal, waktu yang tidak dibenarkan bagi laluan kenderaan berat BTM 5,000kg dan ke atas bermula 11.30 pagi hingga 2.30 petang.
Manakala pada waktu petang pula pukul 4.00 hingga 7.00 malam pada setiap hari kecuali pada Hari Kelepasan Am.
Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 70 (1) Akta pengangkutan Jalan 1957 (Akta333) dengan Perintah Menteri Kerja Raya, yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih tiga bulan atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette