Home Nasional Institusi Melayu perlu tingkatkan usaha urus aset dengan cekap – Mapim

Institusi Melayu perlu tingkatkan usaha urus aset dengan cekap – Mapim

Adham Baba The President of Malaysian Consultative Council for Islamic Organization (MAPIM), Mohd Azmi Bin Abdul Hamid. PIX: IQBAL BASRI / MalaysiaGazette / 01 SEPTEMBER 2018 double standard ministers quarantine Muhammad Sajjad Nur Sajat Islam Muslim
Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Semua institusi Melayu digesa meningkatkan usaha terhadap pengurusan aset dengan cekap bagi mengangkat martabat Melayu daripada sudut sosio-ekonomi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, orang Melayu perlu sedar bahawa menguruskan harta untuk dimanfaatkan sebaik mungkin bukan sekadar satu keperluan peribadi tetapi ia termasuk dalam amanah keagamaan yang perlu diberi perhatian.

Katanya, segala aset itu perlu dimanfaatkan untuk generasi akan datang dan juga bagi membantu masyarakat Islam umumnya.

“Kami sangat terperanjat membaca laporan media terdapat sekitar RM90 bilion nilai aset kebanyakan milik orang Melayu tidak dituntut dan dibekukan sehingga 2020.

“Jelas ini harus dipandang serius oleh semua pemimpin Melayu di semua peringkat.

“Apakah yang menyebabkan komuniti Melayu tidak cermat dan tidak memberi perhatian kepada soal menguruskan aset yang dimiliki sendiri untuk masa depan keluarga.

“Akibat kecuaian dan tidak mempunyai kesedaran mengenai kewangan dan ekonomi, orang Melayu terus menanggung kerugian dalam menguruskan ekonomi peribadi sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau menggesa masyarakat Melayu supaya memberi perhatian terhadap wasiat agar aset yang ditinggalkan tidak dibeku apabila berlaku kematian.

“Kami mengingatkan, sementara orang Melayu sering gusar banyak aset Melayu terlepas tangan kepada komuniti bukan Melayu, namun orang Melayu sendiri cuai menguruskan aset yang ada dalam tangan mereka sendiri.

“Akibatnya, aset Melayu tersekat untuk dimanfaatkan. Banyak kes berlaku akibat konflik sesama ahli keluarga dan tidak ada yang bersungguh mengurus harta pusaka dengan baik sehingga akhirnya aset terbiar dan akhirnya dibekukan,” tambahnya.

Menurut Moha Azmi, terlalu banyak aset orang Melayu yang terbiar hingga mengakibatkan mereka menjadi liabiliti bukan aset sedangkan setiap aset itu akan dipertanggunjawabkan di sisi Allah S.W.T nanti.

Ujarnya, kerugian akibat daripada kecuaian itu bukan sahaja melibatkan masa depan ahli keluarga tetapi juga kepada ekonomi negara.

“Tidak ada pihak lain yang boleh disalahkan melain diri sendiri.

“Kami menyeru pelbagai organisasi Melayu memberi perhatian kepada aset milik Melayu. Suatu usaha bersungguh mengesan aset Melayu yang terbiar perlu diuruskan dengan sebaik mungkin,” jelas beliau. – MalaysiaGazette