Home Nasional 38 disaman dalam Op Lampu Isyarat Merah

38 disaman dalam Op Lampu Isyarat Merah

Patuhi lampu isyarat dan undang-undang keselamatan jalan raya

KUANTAN – Meskipun lampu merah tanda berhenti, namun masih ramai yang memandang remeh perkara itu apabila 38 individu disaman kerana gagal mematuhi undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohamed Rizal Kamarudin berkata, Op Lampu Isyarat Merah dijalankan Isnin lalu di lampu isyarat Jalan Pintasan Bukit Setongkol, di sini bagi mengesan pesalah yang melanggar peraturan itu.

Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Daerah Kuantan itu diketuai Inspektor Faizal Basri dan enam anggota bermula jam 9.30 hingga 11.30 pagi.

“Sebanyak 98 buah kenderaan diperiksa dalam operasi tersebut melibatkan pelbagai kesalahan dikesan di kalangan pemandu.

“Dalam operasi tersebut, sebanyak 38 saman dikeluarkan kepada pemandu yang gagal tanpa kompromi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohamed Rizal, sebanyak 24 kesalahan dikesan kerana gagal mematuhi isyarat selain mendapati kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, lesen tamat tempoh, mengubah suai kenderaan dan tiada cermin sisi.

Beliau yang dihubungi MalaysiaGazette memberitahu, pihaknya sentiasa memantau dan menjalankan operasi bagi meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya.

Menurut Mohamed Rizal, walaupun laluan tersebut merupakan laluan utama di kawasan perumahan namun pengguna jalan raya dinasihatkan untuk terus mematuhi undang-undang. – MalaysiaGazette