KUALA LUMPUR – Polis akan mempergiatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kawasan tumpuan orang ramai.
Tindakan tersebut diambil selepas tular beberapa gambar yang menunjukkan berlaku pelanggaran SOP pada hujung minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah diarahkan meningkatkan rondaan di beberapa lokasi dalam daerah itu khususnya di Tasik Titiwangsa dan Tasik Ampang Hilir.
“Jadi kita buat pemantauan dan ia akan dipergiatkan lagi supaya pengunjung sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal kerana kita tidak mahu berlakunya penularan Covid-19.
“Malam ini pun kita akan adakan operasi pematuhan SOP di beberapa kawasan tumpuan di daerah Wangsa Maju kerana yakin orang ramai akan berkumpul beramai-ramai memandangkan esok adalah cuti umum,” katanya.
Beliau menyatkan demikian ketika ditemui selepas majlis Pelupusan Barang Kes Perjudian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini.
Sebanyak 1,578 barang kes membabitkan mesin komputer judi, komputer riba, telefon bimbit, kertas perjudian dan set mahjong yang dirampas sejak 2014 hingga 2020 bernilai RM45,000 dilupuskan selepas menerima perintah mahkamah.
Menurut Ashari, polis masih menggunakan pendekatan memberi nasihat atau advokasi berbanding terus mengeluarkan kompaun kepada individu yang mengingkari SOP.
“Kita tidak boleh menghalang orang ramai untuk beriadah malahan pada masa yang sama memahami keadaan ekonomi rakyat dalam suasana Covid-19.
“Oleh demikian polis akan meneruskan pendekatan menasihati mereka yang berkumpul beramai ramai yang mungkin membawa kepada risiko perlanggaran SOP tapi jika mereka masih ingkar, maka polis terpaksa keluarkan kompaun kelak,” kata beliau.-MalaysiaGazette