KOTA KINABALU – UMNO digesa mengotakan janji untuk mengembalikan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman berkata, rakyat Sabah sudah lama menunggu pelaksanaan MA63 sepenuhnya.
“Tidak ada sebab hal ini dilengah-lengahkan atau diberi pelbagai alasan memandangkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah membuat janji tersebut, malah mengatakan bahwa apa pun kekangan yang timbul akan diatasi demi memastikan ianya terlaksana.
“Presiden UMNO telah berjanji kepada rakyat Sabah untuk melaksanakan MA63 100 peratus,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis tahun lalu, Ahmad Zahid telah berjanji akan melaksanakan MA63 sepenuhnya sekiranya kerajaan Barisan Nasional menerusi UMNO berkuasa semula.
Sementara itu, Anifah berkata, kerajaan tidak perlu menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji hal berkaitan MA63.
“Kami di Sabah perasan asal tukar kerajaan sebuah jawatankuasa baru ditubuhkan untuk mengkaji MA63 dan sebagainya.
“Sempena Hari Malaysia ini, kami harapkan ada pengumuman positif buat rakyat Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette