Home Nasional Individu bergejala, kontak rapat wajib buat ujian, lapor dalam MySejahtera

Individu bergejala, kontak rapat wajib buat ujian, lapor dalam MySejahtera

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Individu yang bergejala atau berisiko tinggi terutamanya kontak rapat diminta melakukan ujian saringan Covid-19 dan melaporkan keputusannya melalui aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ujian saringan Covid-19 boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) atau hadir fasiliti kesihatan yang berdekatan.

Katanya, pengesanan awal akan membantu individu memantau kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan awal, sekali gus mengurangkan kes kematian di luar hospital atau Brought-in-Dead (BID).

“Selain itu, kit ujian RTK-Ag (kendiri) Covid-19 ini adalah mudah dan pantas untuk dijalankan di samping mempercepatkan proses individu yang positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutamanya golongan rentan dapat dikurangkan.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah.

“Setiap individu wajib melaporkan hasil keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera sama ada keputusan positif, negatif, mahupun tidak sah bagi membolehkan tindakan susulan dapat diambil KKM dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, CPRC Kebangsaan juga melaporkan trend bilangan ujian dan kadar positif bagi keseluruhan ujian pengesanan SARS-CoV-2 iaitu PCR, RTK-Ag (profesional), dan RTK-Ag (kendiri) mengikut Minggu Epidemiologi (ME) yang mana ia telah menunjukkan peningkatan berterusan dan memberangsangkan sejak beberapa minggu lalu.

Ujarnya, perkembangan terbaharu itu lebih ketara dilihat sehingga 13 September lalu apabila sebanyak 758,919 ujian RTK-Ag (kendiri) telah dijalankan yang mana, 107,421 atau 14.5 peratus daripadanya telah dikesan positif Covid-19.]

Malah kata beliau, keputusan ujian Covid-19 perlu dilaporkan kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan dalam negara yang dilaporkan selain menunjukkan peningkatan kesedaran orang ramai akan kepentingan melakukan ujian pengesanan SARS-COV-2. – MalaysiaGazette