NEW DELHI – India membeli 64,087 tan olein sawit RBD (minyak sawit bertapis, diluntur dan dinyahbau) dari Malaysia pada Ogos berikutan import minyak sawit bertapis negara itu pulih disebabkan kelonggaran dalam peraturan perdagangan pada Jun.
India mengimport 277,907 tan minyak sawit, termasuk 205,320 tan minyak sawit mentah (MSM) dan 8,500 tan minyak isirung sawit mentah, dari Malaysia pada bulan lalu, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengekstrak Pelarut India (SEA) yang berpangkalan di Mumbai.
Import minyak makan oleh India pada Ogos secara keseluruhannya berjumlah lebih satu juta tan, termasuk 750,134 tan minyak sawit.
Import olein sawit RBD dalam bulan terbabit sebanyak 187,471 tan berbanding 13,895 tan pada Julai.
Import minyak sawit bertapis dijangka menyaksikan jumlah yang sama dalam tempoh beberapa bulan akan datang, menurut SEA.
Pada Jun lalu, Kementerian Perdagangan India telah memansuhkan sekatan ke atas import minyak sawit bertapis selama enam bulan dalam persekitaran harga minyak masak domestik yang tinggi.
India turut menggunakan pengurangan duti import untuk meningkatkan bekalan minyak makan tempatan.
Dalam langkah terkini untuk mengurangkan harga runcit, pengimport minyak sayuran utama dunia itu telah mengurangkan duti import ke atas MSM, olein sawit RBD, minyak soya dan minyak bunga matahari pada minggu lalu.
Ia mengurangkan cukai import asas ke atas MSM kepada 2.5 peratus daripada 10 peratus manakala kadar cukai asas minyak sawit bertapis dikurangkan kepada 32.5 peratus daripada 37.5 peratus.
Duti efektif semasa, termasuk levi, ke atas MSM ialah 24.75 peratus manakala pada variasi bertapis sebanyak 35.75 peratus. – MalaysiaGazette