BALIK PULAU – Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya menyifatkan ketegasan Kerajaan Pusat terhadap cadangan tambak laut di negeri ini sebagai kelegaan besar kepada penduduk di sini khususnya golongan nelayan.
Sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas ketegasan itu, Hilmi yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata, pendirian tersebut menunjukkan Kerajaan Pusat prihatin dengan nasib lebih 1,500 nelayan dan keluarga mereka yang bergantung rezeki kepada hasil laut di kawasan itu.
Malah, ujar beliau, Najib sendiri menyedari zon yang disasarkan kerajaan DAP Pulau Pinang itu kaya dengan sumber laut dan cadangan tersebut akan menjejaskan punca pendapatan serta memberi pelbagai impak negatif yang berpanjangan.
Ujarnya, penduduk Balik Pulau tidak menolak pembangunan dan perancangan yang baik untuk masa depan rakyat, namun jika jelas membawa mudarat sehingga menutup pintu rezeki nelayan tempatan, tidak ada sebab mengapa projek seumpama itu perlu diteruskan.
“Bayangkan, perairan di selatan negeri ini yang merupakan tempat mereka mencari rezeki tanpa mengira musim sepanjang tahun dan kaya dengan hasil laut tiba-tiba hendak dihapuskan.
“Ini perkara yang tidak masuk akal dan tidak wajar dipertimbangkan sama sekali,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam ketika berucap dalam Majlis Jamuan Rakyat di sini, Najib menegaskan kerajaan tidak akan meluluskan projek tambak laut yang dicadangkan kerajaan DAP Pulau Pinang di sini sekiranya terbukti menjejaskan rakyat dan alam sekitar.
Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut seluas 1,800 hektar di sini bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos pelan induk pengangkutan (PIP) negeri bernilai RM46 bilion.
Dalam pada itu, Dr. Hilmi menyelar dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang disifatkan gagal mengambil kira kepentingan penduduk, sebaliknya meletakkan faktor-faktor lain sebagai keutamaan.
Katanya, kerajaan negeri jelas tidak sensitif dengan keperluan rakyat serta tidak mampu membuat perancangan pembangunan yang baik.
“Jika kepentingan rakyat menjadi keutamaan DAP, tentu sekali mereka langsung tidak akan menimbangkan cadangan tambak laut ini.
“Namun apabila pengumuman mengenai perkara itu dibuat, ia membuktikan mereka mempunyai matlamat berbeza,” katanya. – MalaysiaGazette