KUALA LUMPUR – Pengusaha pusat gimnasium akhirnya menarik nafas lega apabila mereka dibenarkan membuka semula operasi mulai hari ini selepas penutupan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada Mei lalu.
Pemilik Enrich Fitness, Krishna Kumar, melahirkan perasaan gembira dengan kebenaran kerajaan untuk membuka semula operasi tersebut bagi membolehkan peniaganya sepertinya kembali bernafas.
“Sebenarnya pihak kami sudah bersiap sedia dengan semua prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila pusat gimnasium dibuka semula operasi.
“Jadi saya menasihati pengunjung supaya mematuhi SOP yang bakal diumumkan sebelum memasuki gimnasium,” ujarnya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Sebelum ini, Kumar yang juga Presiden Penaja Persatuan Pusat Gim Malaysia mendedahkkan semakin ramai pengusaha pusat gimnasium bakal gulung tikar apabila golongan itu tidak lagi dapat bertahan kerana tidak mampu membayar sewa lot kedai dan gaji kakitangan.
Dia berkata, pengusaha kini berdepan tekanan berikutan terpaksa menanggung kerugian besar mencecah 100 peratus selepas sekali lagi operasi dihentikan sejak pelaksanaan PKP 3.0 bermula 12 Mei lalu hingga kini.
Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengumumkan gimnasium yang terletak di negeri dalam fasa 2 dan ke atas PPN akan dibuka semula kepada mereka yang telah melengkapkan vaksinasi bermula hari ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Ti Lian Ker berkata, prosedur operasi standard (SOP) tambahan khusus untuk gimnasium dan sukan tertutup akan diumumkan secepat mungkin.
Katanya, aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka (outdoor) dan tertutup (indoor) dibenarkan kepada individu yang lengkap vaksin.
“Sebelum ini pun memang kami ikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan KBS. Malah kami ada tambahan inisiatif sendiri dengan mewajibkan pelanggan membawa dua helai tuala kecil, hadkan kehadiran pelanggan yang datang, membersih peralatan dua jam sekali dan membuat jadual temujanji untuk pelanggan.
“Kami sanggup beroperasi dengan SOP lebih ketat memandangkan pendapatan sekarang jatuh lebih 50 peratus sejak PKP tahun lalu.
“Sebelum ini kami boleh mendapat 100 pelanggan namun selepas PKP kurang dalam 40 peratus namun masih mampu bertahan untuk membayar sewa lot kedai dan gaji pekerja. Sekiranya tidak dibenarkan beroperasi, akan ramai lagi yang gulung tikar,” katanya.
Dalam pada itu, Enrich Fitness yang memiliki empat cawangan di Lembah Klang dan Selangor menawarkan bayaran percuma kepada warga emas.
Bagi yuran ahli, pusat itu hanya mengenakan bayaran RM76 sebulan tanpa sebarang kontrak dan yuran masuk harian RM5 pada hari biasa dan RM7 pada hujung minggu.
Selain itu, kemudahan turut disediakan untuk ahli dan pengunjung wanita apabila disediakan ruang khas untuk mereka bersenam tanpa bercampur dengan lelaki.
Ketika ini, semua Enrich Fitness beroperasi bermula 8 pagi hingga 10 malam. – MalaysiaGazette