KUALA LUMPUR – Siapa tidak kenal maskot rasmi negara bagi temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
Melambangkan semangat sukan membara, maskot comel dikenali sebagai Rimau itu sering muncul di kaca televisyen dan media sosial dengan aksi-aksi yang mencuit hati peminat serta penonton temasya Sukan Sea ke-29 yang sedang berlangsung.
Jika dahulu Rimau ini pernah ‘ditegur’ Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin kerana ditangkap berpelukan dengan maskot singa comel, Nila daripada Singapura, kali ini Rimau sekali lagi meraih perhatian Khairy apabila memuat naik gambar bersama seorang gadis dengan kapsyen nakal.
“Susahnya nak jaga halal ‘gap’ (jurang),” tulis Rimau di ruangan laman rasmi Twitternya, @rimaumalaysia.
Foto aksinya itu mendapat perhatian Khairy yang kemudiannya berkongsi gambar itu beserta komen balas.
“Tangan tu. #Rimau,” ujar Khairy menerusi Tweethandle @Khairykj.
Aksi nakal Rimau turut mendapat perhatian netizen yang rata-rata terhibur dengan telatahnya.
Sehingga semalam Tweet tersebut dikongsi semula oleh 18,807 pengguna Twitter dan meraih 8,252 ‘likes’. – MalaysiaGazette