MUKADIMAH
PENGLIBATANNYA dalam arena politik sudah menjangkau 43 tahun. Bermula daripada Pemuda UMNO, hingga pernah menjadi menteri, pelbagai asam garam dan sepak terajang politik sudah dilaluinya.
Melalui perit getir di pentas politik ini, anak jati Padang Rengas, Perak ini akhirnya mengambil keputusan bakal melepaskan kerusi yang disandangnya selama enam penggal.
Baginya, parti Melayu terbesar ini seharusnya lebih terbuka dan tidak harus menjadi seperti komunis. Ikuti temu bual eksklusif MalaysiaGazette bersama Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Soalan: Sebagai orang lama dalam politik, enam penggal, satu tempoh yang lama apakah pandangan Datuk Seri terhadap politik hari ini?
Mohamed Nazri: Politik hari ini tidaklah semudah semasa saya dilantik sebagai Exco dulu. Sekarang dengan adanya media sosial, jadi kita tak mudah buat sesuatu tanpa diketahui orang ramai. Tapi, dulu tak macam tu. Dulu semuanya akan dilapor dalam akhbar tapi tidak semua dapat dilaporkan. Hidup senanglah dulu. Sekarang bukan senang, sikit sahaja bergolak, akan dilaporkan.
Kedua, tuntutan sebagai ahli politik memang banyak. Kalau dulu kita mudah tetapi sekarang rakyat makin lama makin cerdik, mereka tahu hak-hak mereka dan lebih demanding. Sudah tentu berbeza. Itu cabaran kita.
Ketiga, dalam parti itu sendiri yang lebih ramai yang berkelayakan dan akan berlaku perebutan jawatan untuk pelbagai jawatan yang ditawarkan dalam politik Malaysia ini. Saingannnya jauh lebih teruk kalau dibanding dengan masa lepas.
Keempat, apabila rakyat tahu hak mereka, maka pembangkang sekarang, hasil daripada rakyat tahu hak mereka, kalau tak puas hati akan pilih orang lain seperti yang berlaku pada 2018.
Makin lama dalam Dewan akan tak senang, kita akan diasak dengan pelbagai soalan, tapi ia bagus, suka tak suka kita terpaksa buat benda yang betul. Ini yang saya nampak perbandingan dalam 43 tahun dalam politik, memang banyak perbezaan.
Adakah kerana itu Datuk Seri berundur diri?
Saya boleh lawan semua tu, tak ada masalah, malah kalau kita tengok, media sosial pun muncul di negara kita sekitar 10 tahun lalu. Ketika itu saya aktif dalam politik. Saya Menteri, ahli Parlimen dan pegang jawatan penting iaitu menjaga undang-undang dan Parlimen.
Bagi saya, itu kerja mudah. Tidak ada masalah kerana saya tidak pernah bohong.
Jadi dengan empat perkara itu pun, ia tidak menjadi masalah kerana saya menang dalam keadaan tsunami 2018. Saya jadi Ketua Bahagian pun menang tanpa bertanding. Bukan perkara susah.
Saya pilih untuk berhenti kerana kita bercakap tentang betapa pentingnya generasi muda mesti melibatkan diri dalam politik, tetapi kalau kita orang lama masih duduk di situ lagi, masa bila mereka nak naik? Jangan tunggu orang tunjuk pintu untuk jalan keluar. Saya nampak pintu saya jalan keluar.
Bukan kerana takut, tapi dah sampai masanya. Jangan cakap tak serupa bikin. Saya nak bagi ruang kepada orang muda untuk mereka dapat kesempatan dan mengambil bahagian dalam politik.
Ia mesti ada kesinambungan dan hanya boleh berlaku kalau yang tua mengosongkan tempat untuk yang muda masuk.
Saya dulu jadi Pengerusi Mara, dan berjawatan Senator pada usia 36 tahun. Mengapa orang yang berumur 36 tahun sekarang tak boleh pegang jawatan itu?
Kenapa saya boleh, mereka tak boleh? Saya bukan istimewa pun, manusia biasa. Cuma mereka, tidak diberi ruang, sekarang saya bagi, ambillah.
Siapa yang layak, dalam kawasan Parlimen saya, mereka boleh. Perebutan sudah tentu berlaku, saya tak suka nak tunjuk-tunjuk ini, kerana saya tahu, dulu saya naik dalam politik pun susah, tak ada siapa tunjuk, tapi saya lawan.
UMNO bukan hak sesiapa, UMNO hak setiap rakyat Malaysia, yang jadi ahli Bumiputera, sekarang jadi hak rakyat, mereka yang tidak menjadi ahli bergantung kepada UMNO untuk masa depan mereka. UMNO sudah menjadi begitu penting.
Apa nasihat parti selepas mengetahui Datuk Seri ingin berundur?
Tidak ada seorang pun yang merasakan tanpa dia, organinsasi akan jatuh. Rasulullah SAW orang yang begitu penting sampai masa Baginda wafat juga. Kita tak boleh anggap kita ni terlalu bagus sampai tak boleh tinggal.
Ahli UMNO ada tiga juta, jawatan saya dulu pun boleh diisi orang UMNO.
Saya tak ambil tahu apa pandangan parti. Saya buat apa saya suka. Kalau nak tunggu susah.
Setiap kali kita buat keputusan, lepas tu orang pujuk kita, kita tarik balik. Bagi saya bukan alasan.
Saya tak mahu cakap besar, cuma saya akan kekal dengan keputusan saya. Apa pun, saya tak mahu sombong, walaupun dah buat keputusan, Qada dan Qadar kita tak tahu.
Mampukah orang muda tahan dengan sepak terajang dalam politik sekarang?
Mesti bergandingan mana boleh semua orang muda. Kita kena ingat, nak cakap pasal pengalaman, tak akan ada kalau tak melalui sepak terajang politik. Jadi kita kena bagi ruang kepada yang muda untuk merasai asam garam politik. Sama macam berjalan, kena merangkak dulu, lepas tu berdiri kemudian jatuh, berdiri semula kemudian baru berjalan.
Itu tak boleh elak, kerana lumrah alam semula jadi. Bagi saya, yang penting gandingan. Tak semestinya orang tua kena pergi.
Masa saya jadi menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Ghaffar Baba ada, Tun Abdullah Badawi, semua ada. Maknanya, waktu saya naik, saya mendapat bimbingan daripada yang tua.
Pada saya, UMNO kalau nak maju, pastikan ada kesinambungan dan gandingan. Sebab itu, saya mengundurkan diri.
Adakah ini sebagai isyarat Datuk Seri kepada pemimpin UMNO yang lain untuk bersara?
Saya bukan bagi isyarat kepada yang lain. Saya tahu, yang muda masuk mesti ada gandingan dengan yang tua. Saya hanya buat untuk diri saya, senang buat keputusan untuk diri saya sahaja.
Saya tak pedulikan orang lain. Semua keputusan untuk saya, yang penting, biarpun veteran ini pergi, tapi akan ada veteran lain masih ada lagi untuk bersama-sama orang muda.
Politik Malaysia terkenal dengan mereka yang berpengalaman serta berjiwa kental dengan sepak terajang dunia ini, apakah sekarang ini ia sudah tidak lagi relevan?
Cukup hanya dua penggal ahli Parlimen untuk pegang jawatan? Tak boleh. Demokrasi bergantung kepada pilihan rakyat.
Tak boleh kata kalau pegang dua penggal dah kena pergi. Kalau rakyat suka, teruskan. Tiada istilah hadkan kepada tempoh itu sahaja, walhal rakyat masih hendak lagi.
Saya tak nampak contoh yang baik apabila diberikan kepada orang muda, mereka berjaya.
Saya tengok macam Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada saya dia gagal. Belum apa-apa lagi dah lompat sana, lompat sini. Kalau dulu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, duduklah bersama Tun. Mengapa lari daripada Bersatu kemudian jadi bebas?
Beliau tidak menunjukkan contoh yang baik kerana telah diberikan peluang. Berbeza dengan Nurul Izzah Anwar yang sangat konsisten. Saya bangga dengan beliau yang kekal, macam itulah. Tapi yang lain tak ada kejayaan.
Ini bukan soal umur tapi pengalaman. Bukan umur 26 atau 27 dapat pengalaman, ia mesti naik sikit-sikit. Sebab itu UMNO tidak gagal, dan lihat mereka yang jadi pemimpin. Otai perlu bantu yang muda.
Kalau dah tak popular, jalankan tanggungjawab, bimbing dan nasihat kepada orang muda.
Datuk Seri masih popular?
Saya tidak ada sebarang jawatan sejak 2018 kerana parti kalah pilihan raya tetapi masih popular. Jawatan itu bukan penentu kita popular atau tidak, tetapi yang penting kesanggupan untuk kita bercakap benar. Saya bercakap benar, ikhlas.
Apakah pandangan Datuk Seri mengenai sikap ahli politik yang bermuka-muka?
Saya tak mahu komen tentang ahli politk sekarang, mereka kawan-kawan saya. Dalam UMNO, kita dilatih menghormati pemimpin tetapi ketika Tun Mahathir keluar UMNO, ramai yang tak ikut, kerana kita dilatih untuk setia untuk pemimpin. Sebab itu, Tun Mahathir marah pada kita.
Begitu juga ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuang, tak ada orang UMNO bela beliau, sebab kita dilatih sedemikian.
Kepala saya lain. Kalau rasa betul, saya pertahan sebab saya dilatih sebagai peguam. Saya buat kerana UMNO bukan kepentingan peribadi.
Saya tak kisah orang lain. Hormat pemimpin dan mungkin mereka nak jadi wakil rakyat, dan memerlukan tanda tangan Presiden untuk beri watikah. Kalau tak ikut cakap Presiden nanti tak dapat pula. Ini yang mungkin tidak ada pandangan berbeza dengan Presiden. Masing-masing nak jadi wakil rakyat, kerana itu watikah itu amat penting.
Apabila kita bertanding atas lambang parti, Presiden akan tanda tangan. Itu menyebabkan mereka berhati-hati. Tapi pada saya, selama enam penggal cukulah tu, apa nak ditakutkan. Saya mesti buat untuk kepentingan parti.
Datuk Seri antara yang menyuarakan untuk jawatan timbalan perdana Menteri diberikan kepada UMNO?
Keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu menetapkan dua perkara iaitu meneruskan sokongan kepada Perikatan Nasional hingga PRU15 dan ‘No Anwar No DAP’.
Inilah keputusan paling besar. Majlis Tertinggi pun tak boleh nak tarik. Saya berpegang kepada itu dan bertemu Muhyiddin untuk menyatakan kembali sokongan kepada beliau.
Saya berjumpa beliau Jun lalu dan minta lantik Timbalan Perdana Menteri. Beliau tanya siapa, saya kata tak kisah asalkan orang UMNO. Ikut hieraki Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Inilah peluang baik untuk UMNO kerana apabila sudah jadi timbalan. Muhyiddin pegang kerajaan sampai 2023 dan mengepelai gabungan. Apabila beliau behenti, UMNO pula akan pegang.
Sebab tu saya sokong beliau untuk terus jadi Perdana Menteri. Kita nampak peluang. Tak sampai tiga tahun kita dapat balik.
Ini bukan soal individu. Saya nampak jalan UMNO kembali dalam kerajaan. Saya pun sokong Ismail Sabri untuk jawatan ini dan ada pula yang tak sokong.
Ia berlarutan hingga hampir kena buang daripada parti dan surat tunjuk sebab. Tapi saya tak jawab pun, kerana saya berada di landasan yang betul. Saya hanya buat kerja untuk UMNO.
Orang anggap sebagai pengkhianat. Tak mengapa, umpama lilin yang membakar diri demi parti. Kalau Presiden tak mahu tanda tangan watikah, tak apalah.
Matlamat saya UMNO akan naik. Alhamdulillah, bulan Jun Ismail Sabri jadi Timbalan Perdana Menteri, tak sampai beberapa minggu jadi Perdana Menteri pula. Itu perancangan ALLAH SWT.
Apa dosa Ismail Sabri? Adakala keputusan parti pun tak betul. Kalau kita tak buat sekarang, kita nak kerjasama dengan siapa nanti? PN? Ada dua sahaja, antara PN dan PH, mana satu? Keputusan kita tak akan bekerjasama dengan mereka (PN), jadi nak ikut siapa?
UMNO dah jadi tumpuan. Apabila UMNO buat keputusan nak A, B tak boleh, kerana kita kerjasama dengan Pas dan Sarawak dan Bersatu.
Bagaimana keadaan UMNO sekarang?
UMNO bukan parti cap ayam. Penuh tradisi dan parti keramat. Kita jangan jadi komunis, segala perbezaan pendapat sembunyikan. Siapa tak setuju dengan ketua akan dibuang. Apa yang berlaku dah tak boleh sembunyi.
Ini parti untuk rakyat dan mereka berhak tahu apa yang berlaku. Cuma yang penting kita ikut seperti pepatah lama, ‘biduk berlalu kiambang bertaut’, maknanya selepas berserabut, akhirnya kita bersatu semula. Itu yang penting.
Janganlah kita pura-pura tak ada keserabutan. PKR, Pas, Amanah dan DAP pun ada masalah seperti ini juga, berbeza pandangan.
Kalau asyik cakap sepakat, (masalah) tak diketahui orang… itu parti komunis la tu. Mula-mula sembunyi, akhirnya tahu-tahu dah padam saja. Itulah komunis. Kita bukan begitu. Kita jangan bimbang, kalau berbeza pandangan, itulah demokasi.
Saya gembira dan tidak menyimpan marah atau dedam kepada sesiapa. Orang lain saya tak tahu.
Apa pula pandangan Datuk Seri terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Anwar ni sahabat saya. Dia pernah jadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan pernah menjadi timbalan presiden UMNO. Tun Mahathir berkelahi dengan dia. Sebagai sahabat, saya akan terus mendoakan untuk Anwar Ibrahim.
Apa pandangan Datuk Seri terhadap isu lompat parti?
Kita perlu menghentikan perkara ini. Sama ada pinda akta sedia ada atau apa cara sekali pun. Lompat parti inilah yang buatkan keadaan jadi kelam kabut. Kalau semua ahli politik berpegang kepada mandat rakyat dan tidak berubah, sudah pasti tak akan berlaku seperti hari ini.
PH akan kekal memerintah dan BN sebagai pembangkang kerana kita sudah bersedia untuk jadi pembangkang selama lima tahun ini.
Akta lompat parti ini juga sebenarnya sudah dipersetujui menerusi memorandum bersama pembangkang baru-baru ini.
Saya juga mahu bersama-sama berperanan supaya ia dapat dilaksanakan dalam sesi Parlimen kali ini juga, sama ada mewujudkan akta baharu atau pinda kepada Akta Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu rakyat memilih parti bukan individu.
Bagi individu yang merasakan diri hebat, bertandinglah atas tiket bebas. Kalau rasa mahu kerusi itu hak seorang diri, betandinglah Bebas. Itu sahaja.
Gila kuasa, pangkat dan jawatan… tiga perkara yang sering dikaitkan dengan ahli politik kita, pandangan Datuk Seri?
Nafsu sebenarnya. Kumpulkan semua ini jadilah nafsu. Dalam Islam pun, kitsa berkuasa kerana agama kita tuntut supaya jangan bernafsu untuk nak makan saja. Masing-masing kenalah kawal nafsu ni.
Agama menggalakkan kita mengawal nafsu, kalau kita dapat kawal, semua akan selesai. Tapi ya lah kita kadang-kadang sembang… saya malaslah nak komen.
Apakah padangan Datuk Seri terhadap pentadbiran Ismail Sabri yang dilihat seolah-olah bayangan parti Bersatu?
Kita kena faham Ismail Sabri bukan menjadi perdana Menteri selepas pilihan raya. Tetapi beliau diangkat dengan perkara yang tiada kaitan dengannya. Januari lalu kita bersama Bersatu bentuk kerajaan kerana Pakatan Harapan (PH) bergaduh yang akhirnya jatuh.
Itu bukan salah kita. Kita tak kerja siang malam nak jatuhkan parti lain. Kita dapat peluang menjadi sebahagian kerajaan. Selepas setahun, berlaku peletakan jawatan Muhyiddin. Jadi memang tak boleh lari daripada bayangan Bersatu. Itu betul.
Ismail Sabri tidak boleh membentuk jemaah menteri yang benar-benar dia mahu, sebab tiada mandat. Dia pun tak pernah mimpi jadi perdana menteri. Jangan salahkan dia. Apabila ada yang kata barisan Kabinet kita semula, mereka tak faham. – MalaysiaGazette
https://www.youtube.com/watch?v=WP7YEOxMLx4