KUALA LUMPUR – Sebanyak empat lagi kes positif Covid-19 telah dikesan pada hari kedua pembukaan gelembung pelancongan di Pulau Langkawi selepas lima kes direkodkan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, empat kes positif itu dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.
“Sejumlah 3,454 orang pelancong yang mahu berlepas untuk percutian di Pulau Langkawi telah berjaya disaring ujian Covid-19 sebelum mereka dibenarkan meneruskan perjalanan masing-masing
“Bagaimanapun, empat kes positif dikesan oleh pasukan kesihatan yang bertugas di lapangan iaitu satu kes di pintu masuk Antarabangsa (PMA) Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, satu kes di PMA Lapangan Terbang Subang dan dua kes positif disahkan menerusi saringan ke atas pengembara tempatan di PMA Feri Kuala Perlis,” katanya dalam laman Facebook hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN:
- 5 daripada 2,528 pengunjung Pulau Langkawi dikesan positif Covid-19
- Pelancong ke Langkawi wajib jalani ujian 48 jam sebelum berlepas
Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima daripada 2,528 pelancong ke Pulau Langkawi positif Covid-19 hasil ujian RTK-Ag.
Saringan itu dilakukan terhadap 2,546 pengunjung di Pulau Langkawi yang menggunakan pintu masuk udara dan laut. – MalaysiaGazette