Home Utama Sangka bunyi monyet rupanya tanah runtuh – Penduduk

Sangka bunyi monyet rupanya tanah runtuh – Penduduk

Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto SYAFIQ MABAK, 18 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang penduduk melalui detik mencemaskan selepas melihat sendiri kejadian tanah runtuh berlaku di belakang rumahnya di Kemensah Heights semalam.

Dalam kejadian sekitar 8.40 malam itu, Puziah Ahmad, 68, sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum terdengar bunyi kuat.

“Pada mulanya saya sangka tiada apa-apa yang berlaku sebab kebiasaannya monyet yang ada di hutan (berhampiran) akan buat bising.

“Namun bunyi kali ini agak lain dan kuat menyebabkan saya agak cemas sebelum meluru ke ruang dapur untuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Puziah Ahmad.

“Sebaik saya melangkah masuk dapur saya kaku melihat pergerakan kuat tanah dari rumah jiran di atas dan pokok besar beralih depan mata manakala timbunan tanah sudah menyentuh dinding dapur,” kata suri rumah itu ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Puziah kemudiannya menghubungi anaknya yang belum pulang dari kerja dan memaklumkan kejadian itu.

Beliau juga segera keluar dari rumahnya sebelum melihat ada jentera bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya yang mengarahkan kesemua 27 keluarga yang terjejas segera berpindah ke tempat lain.

“Anak saya pun sampai tepat pada masanya sebelum saya mengambil dokumen penting dan barang keperluan pakaian dan balik ke rumah anak saya,” ujarnya.

Puziah yang duduk di perumahan itu sejak 59 tahun lalu menegaskan kejadian seumpama itu pernah berlaku pada tahun 90-an.

Dalam kejadian 8.40 malam semalam, tiga rumah banglo dan 24 rumah teres dua tingkat terjejas akibat tanah runtuh itu dan 27 keluarga telah diarahkan mengosongkan kawasan berkenaan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MPAJ, bomba siasat kejadian tanah runtuh Kemensah Heights