Home Ekonomi Belanjawan 2022 tumpu industri pertanian, penternakan – Tengku Zafrul

Belanjawan 2022 tumpu industri pertanian, penternakan – Tengku Zafrul

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat sebuah pusat penternakan ikan kelah di Kulai, Johor hari ini.

KULAI – Belanjawan 2022 akan turut memberi perhatian kepada perkembangan industri pertanian dan pertenakan.

Itu jaminan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, ia ekoran potensi sedia ada dalam industri pertanian negara dengan matlamat utama untuk memperkasa inisiatif jaminan makanan (food security).

“Untuk Belanjawan 2022, kita mahu menekankan fokus kepada sektor pertanian terutama dari segi jaminan makanan. Jaminan makanan ini jika kita lihat adalah salah satu elemen yang penting dalam Pakej Rangsangan dan juga Belanjawan 2021.

“Jaminan makanan dan sektor pertanian akan tetap diberi keutamaan bagi membina asas untukĀ  penambahbaikan agar kita tidak terlalu bergantung kepada sumber makanan import pada jangka panjang,” katanya pada sidang media di sebuah pusat penternakan ikan kelah di sini hari ini.

Lawatan itu sempena lawatan kerja dua harinya di Johor.

Tengku Zafrul berkata, langkah kerajaan untuk menaikkan industri pertanian merupakan kesinambungan belanjawan tahun lalu.

“Secara keseluruhannya, melalui pakej-pakej rangsangan dan bajet 2021 sebanyak 3.15 billion diperuntukan untuk sektor pertanian dan sebanyak 1.75 billion telah berjaya disalurkan kepada peladang, penternak dan nelayan untuk projek-projek berkaitan pertanian.

“Projek-projek telah dilaksanakan termasuk yang berkaitan logistik semasa PKP, kemudahan mikro kredit di bawah Agrobank dan projek-projek negeri termasuk di negeri Johor,” katanya.

Dalam pada itu, sempena lawatan berkenaan, Tengku Zafrul juga melahirkan keterujaan melihat potensi sedia ada di Johor dalam menaikkan industri pertanian sebagai industri utama janaan ekonomi negara.

“Pada hari ini saya berkesempatan turun padang sendiri untuk melihat potensi di negeri Johor dalam sektor pertanian yang merupakan tema utama sektor pertanian dan agro makanan negara

“Ia sesuatu yang bagus malah saya difahamkan usaha ini juga selaras dengan misi untuk menjadikan Johor sebagai food basket of Malaysia bagi membangunkan industri agro makanan yang kompetitif,” katanya.- MalaysiaGazette