Home Sukan Shaiful mahu bukti kemampuan

Shaiful mahu bukti kemampuan

Shaiful Azizi Mohammad.

KUALA LUMPUR – Penjaga gol muda Sarawak United FC, Shaiful Azizi Mohammad tidak akan mensia-siakan peluang membuktikan kemampuannya sekiranya diturunkan selaku penjaga gawang utama buat kali pertama dalam misi perebutan trofi Liga Premier menjelang aksi terakhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Selasa depan.

Selepas penjaga gol, Sharbinee Allawee tidak dapat diturunkan susulan kad merah yang diperoleh pada aksi menentang Negeri Sembilan FC tempoh hari, Shaiful akan menjadi taruhan baharu untuk mengawal gawang pasukan.

Jelas pemain berusia 23 tahun ini, dia tidak menganggap aksi terakhir itu sebagai tekanan besar meskipun ia akan menjadi penampilan pertamanya dalam kesebelasan utama sebaliknya rasa teruja untuk memikul tanggungjawab dalam perlawanan yang cukup penting itu.

“Untuk saya secara peribadi, saya tak rasa tertekan pun apatah lagi ini adalah aksi penentuan untuk kami merebut trofi.

“Dan ini juga mungkin merupakan penampilan pertama saya dalam kesebelasan utama, jadi sudah tentu ini adalah peluang keemasan untuk membuktikan yang saya mampu untuk beraksi.

“Saya anggap lawan kami nanti memang bukan mudah dan sebagai pasukan pelawat, kami akan cuba yang terbaik di mana saya anggap ini sebagai satu tanggungjawab dan cabaran yang tinggi apabila diberi kepercayaan.

“Ketua jurulatih (E. Elavarasan) juga sudah mempersiapkan satu pasukan yang rapi dan dengan motivasi yang ada pada kami sekarang ini, saya percaya kami akan dapat lakukan tugas dengan cemerlang,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shaiful tidak menolak turut menerima banyak tunjuk ajar dan motivasi daripada Sharbinee menjelang perlawanan di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin.

Ini kerana, babak-babak penting dalam waktu kritikal akan sering berlaku terutamanya apabila membabitkan perlawanan yang menjadi tumpuan seperti ini.

“Aksi lepas sewaktu menentang Negeri Sembilan banyak mengajar kami semua untuk lebih memberi fokus dalam apa jua keadaan kerana mungkin sebab kelekaan pada penghujung perlawanan telah menghukum kami.

“Saya boleh katakan ini akan menjadi pengalaman berharga untuk saya sekiranya kita berjaya menjulang trofi di mana saya menjadi sebahagian daripada pemain yang turut beraksi”, katanya.

Sarawak United ketika ini berada di kedudukan kedua liga dan hanya dibezakan satu mata sahaja dengan Negeri Sembilan FC yang kini menduduki takhta liga sekali gus bakal menyaksikan perebutan yang sengit untuk menjulang trofi Liga Premier 2021.- MalaysiaGazette