TEBING BARAT – Berpuluh-puluh penduduk Palestin di sini mengalami sesak nafas semalam selepas bertempur dengan tentera Israel kerana membantah pencerobohan Yahudi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan sekurang-kurangnya 217 penunjuk perasaan telah cedera akibat ditembak dengan peluru getah dan gas pemedih mata.
Agensi berita Xinhua melaporkan, pertempuran sengit berlaku pada waktu tengahari membabitkan puluhan penunjuk perasaan dan tentera Israel di perkampungan Beita dan Beit Dajan berhampiran bandar Nablus.
Mereka yang membantah kehadiran tentera zionis telah bertindak melontar batu ke arah tentera Israel yang kemudiannya membalas dengan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata.
Sementara itu, di kawasan lain, berpuluh penunjuk perasaan cedera selepas diserang tentera Israel di al-Mughayyir, sebuah perkampungan di timur Ramallah.
Dalam kenyataannya, Kementerian Luar Palestin mengecam tindakan kejam tentera zionis Israel terhadap penunjuk perasaan dan demonstrasi aman membantah pencerobohan Israel di Tebing Barat.- Agensi