KANGAR – Perlis membenarkan semua masjid dibuka sepenuhnya mulai Rabu ini (22 September) dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) diperketat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, hanya anak kariah yang telah melengkapkan vaksin COVID-19 akan dibenarkan hadir ke masjid.
“Maksud vaksin lengkap adalah selepas 14 hari dari tarikh menerima suntikan dos kedua bagi vaksin jenis Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac.
“Bagi vaksin jenis Johnson & ohnson dan Cansino adalah selepas hari ke 28 dari tarikh suntikan dos kedua,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), malam tadi.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, sebagai langkah kawalan dan penyelarasan, surau atau tempat solat umun lain masih ditutup melainkan mendapat kebenaran khas MAIPs atau Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).
Baginda bertitah, individu yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan tidak dibenarkan hadir ke masjid dalam tempoh dua minggu dari tarikh terakhir melakukan aktiviti itu dan semua jemaah yang hadir di masjid perlu mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan.