KUALA LUMPUR – Spekulasi penyanyi, Zizi Kirana dan pelakon Yusuf Bahrin dikatakan pasangan kekasih akhirnya terjawab apabila pasangan itu selamat disatukan sebagai suami isteri semalam.
Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, sah bergelar isteri kepada Yusuf Bahrin, 29, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil berwalikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.
Majlis pernikahan diadakan secara tertutup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan hanya dihadiri oleh keluarga terdekat.
Penyanyi lagu Eh ini menerima mas kahwin senaskah al-Quran, sebentuk cincin dan seutas gelang tangan manakala wang hantaran pula tidak didedahkan.
Zizi dilihat anggun mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan ditatarias oleh jurusolek terkenal, Datuk Alha Alfa.
Selesai pernikahan, pasangan pengantin meluahkan rasa syukur majlis akad nikah mereka berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
Berkongsi mengenai perkenalan mereka, Zizi berkata dia mula mengenali Yusuf ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini.
Mereka mula serius mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan. – MalaysiaGazette